Konvo ke-27 UBD, 9 Sept ini

Konvo ke-27 UBD, 9 Sept ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Sept – Seramai 1,125 bakal graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menerima sijil masing-masing di Majlis Konvokesyen UBD ke-27 yang akan berlangsung pada 9 September 2015 ini di Dewan Canselor UBD.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD, dijangka berkenan berangkat untuk mengurniakan ijazah kepada para bakal graduan berkenaan bagi sesi pagi.

Sementara itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro Canselor UBD, dijangka berangkat menyempurnakan pengurniaan diploma semasa sesi petang.

Tahun ini, seramai 20 bakal graduan akan menerima ijazah doktor falsafah (PhD) yang terdiri daripada seorang penerima tempatan, dan 19 orang pula penerima dari luar negara. Manakala itu, seramai 379 orang akan menerima Ijazah Sarjana yang terdiri daripada 346 tempatan dan selebihnya dari luar negara.

Seramai 664 orang bakal graduan pula akan menerima ijazah sarjana muda yang terdiri daripada 643 orang penerima tempatan dan 21 orang dari luar negara, dan seramai 62 orang graduan tempatan menerima diploma.

ARTIKEL YANG SAMA