Konvoi Sehati Sejiwa serlah semangat cintakan negara

SANDAKAN, 11 Sept – Pelajar dan guru Kolej Vokasional Sandakan menunjukkan semangat cintakan negara menerusi penganjuran Konvoi Sehati Sejiwa, hari ini.

Seramai 80 pelajar dan guru  menyertai konvoi tersebut dengan menaiki 30 motosikal dan empat kenderaan termasuk dua buah bas melalui jalan di bandar Sandakan, Jalan Buli Sim-Sim dan Jalan Utara By Pass sebelum berpatah balik ke kolej.

Pengarah Kolej Vokasional Sandakan Ong Poh Suan berkata konvoi tersebut diadakan bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 Sept nanti.

Katanya konvoi itu bagi meningkatkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan pelajar dan guru di kolej itu.

Menerusi konvoi itu juga kami dapat mengajak masyarakat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, katanya ketika berucap pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Pegawai Kepolisan Am Trafik Polis Daerah Sandakan ASP Syamsu Alam Syakir.

Hadir sama, Pegawai Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri Elopura Chan Tzun Hei.

Ong berkata konvoi itu antara antara acara yang diatur oleh kolej tersebut sempena sambutan Bulan Kebangsaan sejak 14 Ogos lepas hingga malam sambutan Hari Malaysia pada 15 Sept nanti. – Bernama