Konvoi, Sungkai Amal NNLR

Konvoi, Sungkai Amal NNLR

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Lebih 60 penunggang daripada 11 persatuan dan pertubuhan penunggang motosikal terlibat di dalam Majlis Persungkaian Amal Tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Penunggang Motosikal New Tanpa had (NNLR) hari ini.

Majlis berkenaan berlangsung di Restoran Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang telah dimulakan dengan konvoi bermula di Jerudong Park sebelum bergerak ke destinasi majlis persungkaian hari ini.

Majlis itu merupakan kali keempat diadakan setelah kejayaan tiga edisi sebelum ini dan merupakan acara tahunan persatuan tersebut pada minggu pertama Ramadan sebelum disusuli dengan acara penyerahan derma dan sumbangan pada minggu terakhir Ramadan seperti yang berjaya dibuat sebelum ini.

Menurut Presiden NNLR, Haji Muhammad Noor Arifin bin Haji Mohd Diah menegaskan bahawa selain mengeratkan silaturahim, majlis berkenaan juga bertujuan untuk menyatukan kesemua kelab dan pertubuhan penunggang motosikal di negara ini di dalam majlis berkebajikan di bulan Ramadan yang Mubarak ini.

“NNLR berhasrat untuk memberikan gambaran positif kepada orang ramai serta masyarakat mengenai penunggang motosikal kerana melalui acara seperti ini kami turut memberikan penekanan kepada keselamatan dan pendidikan kesedaran keselamatan ketika menunggang motosikal,” ujarnya.

Para penunggang motosikal bergambar ramai ketika tiba di destinasi sebelum berbuka puasa kelmarin.
Para penunggang motosikal bergambar ramai ketika tiba di destinasi sebelum berbuka puasa kelmarin.

Beliau turut berbesar hati bahawa perkumpulan dan konvoi itu mendapat sokongan dan dukungan daripada Pendaftaran Persatuan dan juga pihak Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas Polis Diraja Brunei.

“Selain sebagai acara sosial yang sihat ia menjadi platform latihan marsyal yang baru di dalam mengawal konvoi dan menjadi platform kebajikan apabila kami turut mengumpulkan dana daripada yuran perkumpulan ini untuk disalurkan kepada keluarga yang dipilih dari Hospital Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah Tutong sedikit masa lagi,” ujarnya.

Daripada kumpulan dana itu, NNLR akan mendapatkan barangan keperluan asasi yang diperlukan oleh penerima dan setakat ini sekurang-kurangnya lima keluarga akan menerima sumbangan itu hasil daripada kutipan yang diadakan.

Antara persatuan dan pertubuhan motosikal yang menyertai konvoi hari ini adalah KEKAL, KRMAS, Temburong Bikers, Free Riders, Sport Bikers Association, Skullz, Motohead MC, Lady Bikers, BLNG Riders, Injector PEMODA dan NNLR selaku penganjur majlis.

ARTIKEL YANG SAMA