Konvokesyen KUPU SB, 29 Oktober ini

Konvokesyen KUPU SB, 29 Oktober ini

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ke-6 akan berlangsung pada 29 Oktober depan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB dijangka berkenan berangkat bagi merasmikan majlis itu nanti.

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Pengarah Pegawai Perhubungan Awam dan Antarabangsa KUPU SB, Awang Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yusof semasa sidang media di KUPU SB, hari ini.

Semasa mesyuarat itu, beliau juga menggariskan beberapa acara sampingan bersempena majlis konvokesyen berkenaan yang akan berlangsung sebelum acara kemuncak itu nanti, termasuk Majlis Tahlil di Kubah Makam Diraja pada 19 Oktober ini.

Pada 22 Oktober pula, KUPU SB akan mengadakan Majlis Kesyukuran Tamat Pengajian anjuran Pejabat Pendaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB yang akan berlangsung di Dewan Serba Guna KUPU SB.

 Awang Mohammad Hilmy Baihaqy ketika menerangkan mengenai acara konvokesyen yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini.
Awang Mohammad Hilmy Baihaqy ketika menerangkan mengenai acara konvokesyen yang akan berlangsung pada 29 Oktober ini.

Objektif majlis berkenaan adalah untuk meraikan bakal-bakal graduan yang telah menamatkan pengajian mereka dan menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana mereka dapat menamatkan pengajian di kampus KUPU SB .

Seterusnya raptai penuh majlis konvokesyen di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas akan berlangsung pada 27 Oktober.

Sementara itu, selepas majlis konvokesyen, Majlis Penandatangan Persefahaman antara Universiti-Universiti Indonesia dan Malaysia akan diadakan pada 29 Oktober pukul 2 petang bertempat di Dewan Ta’lim, KUPU SB.

Bagi memeriahkan lagi acara Konvokesyen KUPU SB ke-6, Majlis Malam Graduan akan berlangsung pada 29 Oktober bermula pukul 7.30 malam.

Pada tahun ini, lebih kurang 250 orang bakal graduan akan menerima sijil mereka yang terdiri daripada Ijazah Sarjana Perguruan Ugama, Diploma Perguruan Ugama Lepas Ijazah Sesi 2015-2016, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Usuluddin) Sesi 2012-2016, Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ugama (Syariah) sesi 2013-2016, Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Usuluddin) sesi 2013-2016 dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama (Syariah) sesi 2013-2016.

ARTIKEL YANG SAMA