Konvokesyen Politeknik 28 Jan ini

Konvokesyen Politeknik 28 Jan ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Politeknik Brunei mengingatkan semua bakal graduan yang akan menerima sijil-sijil kelulusan mereka bahawa Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei ke-2 akan diadakan pada 28 Januari ini di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Sehubungan itu, semua bakal graduan dan ibu bapa / penjaga dinasihatkan untuk hadir pada jam 7:30 pagi (seawal jam 6:30 pagi) bagi sesi pendaftaran dan urusan-urusan lain yang berkaitan.

Politeknik Brunei dalam kenyataannya, hari ini, juga mengingatkan bakal graduan yang belum lagi mengambil surat undangan ibu bapa mereka untuk mengambilnya di Bilik Perhubungan Konvokesyen Pelajar, One Stop Centre, Tingkat 2, Politeknik Brunei, Kondominium Ong Sum Ping, di ibu negara pada hari ini dan esok dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 27 Januari dari 2 petang hingga 4:15 petang. Manakala itu, pada waktu pagi 27 Januari iaitu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, surat-surat undangan boleh diambil di Dewan Canselor UBD.

Menurut kenyataan Politeknik Brunei, seramai 325 orang pelajar dari sesi pengambilan ketiga, tahun pengajian 2013 akan menerima sijil Diploma Lanjutan masing-masing pada majlis tersebut.

Pelajar-pelajar tersebut telah pun tamat menghadiri program pengajian masing-masing selama dua tahun yang telah ditawarkan oleh sekolah-sekolah di bawah Politeknik Brunei iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Informasi Komunikasi dan Teknologi (ICT), dan Sekolah Sains dan Kejuruteraan.

Diploma Lanjutan yang akan diperoleh adalah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) yang sebanding dengan kelulusan BTEC Higher National Diploma (HND).

Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei yang pertama telah berlangsung di tempat yang sama pada 15 Januari 2015 yang lalu, di mana seramai 582 orang graduan dari sesi pengambilan pertama dan kedua telah menerima Diploma Lanjutan dalam pelbagai bidang daripada Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA