Koperasi Felda bangun stesen minyak mini bulan depan

Koperasi Felda bangun stesen minyak mini bulan depan

TAWAU, 28 Okt (Bernama) – Koperasi Felda akan membangunkan sebuah stesen minyak mini luar bandar jenama Smart di Felda Umas 2, dekat sini bulan depan, kata Pengurus Besar Wilayah Felda Sabah Datuk Juany Salleh.

Beliau berkata projek pembangunan stesen minyak mini berkenaan adalah kerjasama antara Koperasi Felda dan Smart Stream Resources Sdn Bhd (SSRSB), sebuah syarikat pembekal minyak petrol dan diesel.

“Kelulusan untuk membangunkan stesen minyak mini itu sudah ada. Kita akan mulakan pembinaannya bulan depan dan pelancaran operasinya dijangka pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Permuafakatan Wilayah Sahabat (Felda) di sini, hari ini.

Beliau berkata pembukaan stesen minyak itu akan menambah pendapatan anggota koperasi berkenaan, sekali gus dapat membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak peneroka.