Koperasi Malaysia disaran teroka pasaran baru di rantau ASEAN

Koperasi Malaysia disaran teroka pasaran baru di rantau ASEAN

PETALING JAYA, 16 Sept – Gerakan koperasi di negara ini disaran meneroka sepenuhnya peluang pasaran baharu di rantau ASEAN untuk mendapat pulangan lebih tinggi, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menurutnya pihak Angkasa bersama-sama kerajaan bersedia memberi bantuan bagi merancakkan lagi aktiviti perniagaan mereka.

“Dengan kedudukan Malaysia yang diberi pengiktirafan sebagai Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), ini menjadi peluang terbaik kepada mereka untuk meneroka pasaran di negara ASEAN.

Sekarang usaha yang kita buat adalah daripada segi pertukaran barang antara koperasi-koperasi di rantau ASEAN, kerana kekuatan dan pengalaman Malaysia adalah dalam produk halal dan kewangan Islam, maka ini salah satu produk yang boleh ditonjol di peringkat ASEAN,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima lawatan delegasi koperasi dari Filipina di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden ACO untuk tempoh 2014 hingga 2018 berkata rantau ASEAN mempunyai lebih 250,000 gerakan koperasi, manakala Malaysia mempunyai lebih 13,000 koperasi.

Datuk Abdul Fattah Abdullah (kiri) menerima kunjungan Walberto A. Macaraan (kanan) dan rombongan ketika menerima kunjungan hormat deligasi dari Filipina itu ke Angkasa di Wisma Ungku Abdul Aziz, Kelana Jaya kelmarin. - Bernama
Datuk Abdul Fattah Abdullah (kiri) menerima kunjungan Walberto A. Macaraan (kanan) dan rombongan ketika menerima kunjungan hormat deligasi dari Filipina itu ke Angkasa di Wisma Ungku Abdul Aziz, Kelana Jaya kelmarin. – Bernama

Abdul Fattah berkata kerjasama itu perlu terus diperkukuhkan supaya gerakan koperasi boleh menjadi kuasa yang boleh mencorakkan ekonomi di rantau ASEAN.

Menyentuh pertemuan dengan delegasi koperasi Filipina diketuai Pengerusi San Luis Development Cooperative, Walberto A. Macaraan, beliau berkata mereka berbincang mengenai potensi perniagaan yang boleh dibangunkan antara kedua-dua pihak.

Katanya Malaysia berhasrat untuk mewujudkan ‘usaha sama’ dengan Filipina untuk membuka restoran halal di negara itu memandangkan sukar untuk mendapatkan makanan halal bagi pelancong Islam termasuk dari Malaysia dan negara-negara Timur Tengah.

“Kita juga mahu melihat supaya produk koperasi-koperasi di Malaysia boleh menembusi pasaran Filipina kerana populasi penduduk Filipina adalah lebih besar dari Malaysia. – Bernama