Koperasi mampu jana RM1 bilion – ANGKASA

Koperasi mampu jana RM1 bilion – ANGKASA

LANGKAWI, 9 Ogos (Bernama) – Penglibatan dalam penjualan tambah nilai kad prabayar telefon secara dalam talian boleh menyumbang perolehan tambahan sehingga RM1 bilion setahun kepada sektor koperasi negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abd Fattah Abdullah berkata jangkaan perolehan ini dibuat berdasarkan anggaran penjualan tambah nilai prabayar berjumlah RM3 bilion setahun di negara ini.

“Kalau sektor koperasi dapat 10 peratus sahaja (daripada RM3 billion) ini, (mereka akan) ada RM300 juta (perolehan). Kalau kita dapat 30 peratus, (hampir) 1 bilion,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri ANGKASA di sini.

Katanya bagi menggalakkan penglibatan lebih banyak lagi koperasi dalam perdagangan elektronik (e-dagang), ANGKASA melalui anak syarikatnya MyANGKASA Services Sdn Bhd (MSSB) baru-baru ini melancarkan perkhidmatan perniagaan tambah nilai komunikasi dan pembayaran bil menggunakan platform aplikasi android ‘PAY4ALL’.

Datuk Abd Fattah Abdullah. – Bernama
Datuk Abd Fattah Abdullah. – Bernama

Menurutnya sebanyak 1,000 koperasi di seluruh negara disasarkan untuk terlibat menawarkan perkhidmatan ini tahun ini dengan purata setiap koperasi akan menggunakan 10 set peranti.

Abd Fattah berkata MSSB bekerjasama dengan Koperasi Pembangunan Angkasa Belia Daerah Langkawi (KOPBEL) dengan kerjasama Aussiemas Group di bawah Pay4all Marketing (M) Sdn Bhd, sebagai pengendali dan penyedia teknologi perkhidmatan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA