Koperasi perlu betul-betul beroperasi

Koperasi perlu betul-betul beroperasi

Oleh Imelda Groves HA & Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) menasihatkan supaya koperasi-koperasi yang berjalan masa ini agar betul-betul beroperasi secara koperasi dalam erti kata koperasi sebenarnya dengan mengukuhkan kepimpinan dan urus tadbir koperasi supaya lebih berkesan.

“Ini adalah kerana, kaedah koperasi jika dilaksanakan secara betul akan dapat mengurangkan kos koperasi akan tetap menjanjikan keuntungan yang memuaskan,” ujar Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa menjawab persoalan pada hari ketujuh Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang, hari ini.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong (gambar) menjelaskan, pada masa ini terdapat satu atau dua koperasi ataupun hampir semua koperasi peladang yang aktif mengusahakan tanaman padi di kawasan kemajuan pertanian Projek Penanaman Padi Wasan.

“Walaupun koperasi ini terdiri daripada kumpulan peladang yang mengusahakan di kawasan yang sama, tapi pengurusan ladang ahli-ahli adalah tidak mengikut konsep koperasi ataupun pengurusan secara berkumpulan.

“Ahli-ahli masih lagi menguruskan ladang secara bersendirian termasuklah pengambilan buruh, pembelian segala semai-semaian dan bahan import seperti baja, racun rumput, racun penyakit dan musuh. Penyewaan khidmat penggunaan jentera serta penjualan hasil ladang kepada pengilang.”

pg04_160315_a

Oleh itu, menurut Yang Berhormat Dato Haji Ali, ahli-ahli tetap tidak dapat meraih manfaat sebenar daripada kaedah koperasi serta tidak mampu berdaya saing dalam perusahaan yang mereka usahakan.

Menurut beliau lagi, berdasarkan simulasi kewangan yang dibuat oleh pihak KSSUP, jika para pengusaha mengendalikan pengurusan ladang benar-benar dengan cara koperasi iaitu mengamalkan sekala ekonomi, para pengusaha akan masih mampu menjana keuntungan walaupun dengan bantuan insentif yang terhad iaitu melalui penjimatan dari segi bahan-bahan dan import pertanian secara borong dan penggunaan sumber dengan cara yang sistematik dan berkesan.

Beliau menjelaskan perkara ini semasa mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Jumat bin Akim mengenai kajian tentang keperluan untuk menubuhkan satu koperasi yang membantu peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan keperluan-keperluan mereka seperti baja, peralatan-peralatan pertanian, nelayan dan ternakan dan memasarkan hasil mereka dengan berkesan.

Yang Berhormat Dato Haji Ali berkata, buat masa ini, belum ada kajian menyeluruh dijalankan tentang keperluan atau penubuhan koperasi yang dimaksudkan itu.

Menurut beliau, memandangkan kementerian fokus kepada pertumbuhan keluaran yang cepat melalui peningkatan produktiviti bagi membantu pengurusan bagi membantu pengurangan kos pengeluaran, dan selain itu untuk bersaing di pasaran luar negara, maka pihak kementerian berpendapat bahawa kita harus berfikiran terbuka berkenaan dengan bagaimana cara terbaik para peladang, petani dan penternak untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

“Peladang, penternak, petani boleh terlibat secara bersendirian secara berkongsi model, secara melibatkan pelabur-pelabur asing ataupun secara berkoperasi yang penting dalam memastikan daya saing ini ialah ‘scale’ atau saiz aktiviti dengan skala besar, maka unit kos akan dapat dikurangi kerana penggunaan teknologi akan lebih berbaloi.”

Manakala itu, menyentuh mengenai kajian terperinci tentang keperluan-keperluan bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam bidang pertanian, Yang Berhormat Dato Haji Ali berkata, memang banyak kajian telah dibuat tetapi kajian terperinci mengenainya belum lagi diadakan.

“Untuk makluman, pihak kementerian pada masa ini adalah menjalankan kajian dan simulasi kewangan mengenai peluang-peluang dalam bidang agri-business termasuk kajian kemungkinan ekonomi (economic feasibility) analisa cost dan untung rugi bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam satu-satu aktiviti pertanian dan agrimakanan,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA