KOPRI rai 7, rasmi logo baru

KOPRI rai 7, rasmi logo baru

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Dua orang pengawal keselamatan dari Koperasi Rimbun Berhad (KOPRI) menerima sijil kepujian dan lima pegawai kanan KOPRI telah dinaikkan pangkat dalam Majlis Perasmian Logo Sekolah Latihan Pengawal Keselamatan KOPRI di Bangunan Ibu Pejabat KOPRI, Kompleks Jaya Setia, Berakas, hari ini.

Hadir menyampaikan sijil kepujian kepada dua pengawal keselamatan berkenaan dan memasangkan tanda pangkat kepada pegawai-pegawai kanan yang dinaikkan pangkat ialah Ketua Pegawai Eksekutif KOPRI, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Awang Besar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KOPRI, dua orang pengawal keselamatan berkenaan, Sec 1605 Nur Aslam @ Sallehin bin Ahmad dan Sec 2361 Abdul Syukur bin Hamdan, kedua-duanya pengawal keselamatan Hua Ho Manggis, diberikan sijil kepujian dan hadiah sagu hati kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang apabila berjaya menangkap pencuri semasa bertugas.

Kedua-dua mereka telah membuat tangkapan pada 18 Ogos 2016 dan sijil kepujian berkenaan merupakan satu penghargaan yang berterusan daripada KOPRI.

Sementara itu, lima pegawai kanan yang dinaikkan pangkat ialah 2671 Pengiran Zulkipli bin Pengiran Haji Yakub, 1471 Siti Fatimah binti Haji Ismail, 699 Norafidah binti Zukkefli, Sec 1719 Abang bin Haji Saidi, dan Sec 2969 Norul Huda bin Haji Mohd Isa.

Pelancaran logo baru KOPRI.
Pelancaran logo baru KOPRI.
Antara yang menerima kenaikan pangkat pada majlis itu.
Antara yang menerima kenaikan pangkat pada majlis itu.

Pada majlis yang sama, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman juga telah merasmikan Logo Sekolah Latihan Pengawal Keselamatan KOPRI.

Menurutnya, antara kemahiran yang dipelajari oleh pelatih pengawal keselamatan di sekolah berkenaan termasuk cara mengawal keselamatan di setiap pos kawalan dan cara membuat perhubungan menggunakan alat perhubungan radio.

Selain itu, para pelatih juga diberi tunjuk ajar mengenai prosedur menjalankan kawalan keselamatan di bangunan pejabat dan gedung perniagaan dan cara menulis laporan dalam buku catatan 24 jam.

Di samping menyediakan khidmat kawalan keselamatan untuk para pelanggannya, KOPRI juga mengendalikan kursus latihan asas dan lanjutan pengawal keselamatan bagi anggota pengawal keselamatan syarikat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA