Kor Diplomatik adakan majlis perpisahan

Kor Diplomatik adakan majlis perpisahan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Kor Diplomatik di Brunei Darussalam, petang tadi, telah mengadakan majlis resepsi makan tengah hari sebagai majlis perpisahan bagi rakan mereka, Duta Besar Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Jaya Ratnam, yang akan meninggalkan negara ini.

Majlis yang berlangsung di Presidential Lounge, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong itu dihadiri oleh duta-duta besar, pesuruhjaya tinggi luar negara serta para jemputan lainnya.

Duta Besar Kemboja ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chhay Sokhan selaku Doyen Kor Diplomatik berkenaan, dalam ucapannya menyampaikan ucapan perpisahan buat TYT Jaya Ratnam dan mendoakan semoga beliau akan sentiasa berada dalam keadaan sihat dan gembira serta mencapai kejayaan dalam kerjayanya pada masa akan datang.

Pada majlis itu, TYT Jaya Ratnam turut menerima cenderamata daripada Doyen Kor Diplomatik berkenaan sebelum menjamu hidangan dan bergambar ramai.

Sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Persatuan Diplomatik semasa majlis makan tengah hari berkenaan.
Sesi bergambar ramai bersama ahli-ahli Persatuan Diplomatik semasa majlis makan tengah hari berkenaan.

TYT Jaya Ratnam tiba di negara ini pada Jun 2012 dan sebelum itu beliau pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Konsulat Direktorat di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dari 2011 hingga 2012, dan sebelum itu sebagai pengarah Direktorat Ekonomi Antarabangsa dari 2009-2010.

Tuan Yang Terutama juga telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti di Eropah, Asia Tenggara dan Organisasi Antarabangsa. Ini termasuk berkhidmat sebagai perwakilan luar negara di Kuala Lumpur, Jakarta dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva.

Dalam majlis itu juga, Kor Diplomatik berkenaan turut mengalu-alukan kedatangan dua orang ahli terbaru iaitu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam yang baru dilantik, Tuan Yang Terutama Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman dan Duta Besar Thailand ke Brunei Darussalam yang baru dilantik, Tuan Yang Terutama Biravij Suwanphradhes.

ARTIKEL YANG SAMA