Korban banjir lumpur meningkat 17 orang

LOS ANGELES, Jan 11 – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 100 buah rumah musnah dalam bencana banjir lumpur di selatan California, yang dicetuskan oleh ribut musim sejuk, lapor agensi berita Xinhua memetik pihak berkuasa tempatan semalam.

Dua mayat ditemui manakala tiga penduduk berjaya diselamatkan, kata Syerif daerah Santa Barbara, Bill Brown. Bagaimanapun, pihak berkuasa belum memberikan pengesahan mengenai identiti mangsa yang terbunuh.

Sementara itu jurucakap jabatan kebakaran daerah, Mike Eliasoon berkata, antara yang terkorban termasuk kanak-kanak. Ratusan anggota bomba masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan di hampir 75 peratus kawasan yang musnah.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat pula berkata, helikopter turut digunakan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bumbung rumah.

Pada Isnin, siaran televisyen tempatan menyiarkan rakaman yang menunjukkan di kawasan Montecito, barat laut Los Angeles, berlaku runtuhan tanah mengakibatkan pokok tumbang dan menghanyutkan kereta.

Beberapa buah rumah juga mengalami kerosakan. – Bernama