Korban banjir Myanmar cecah 100 orang

Korban banjir Myanmar cecah 100 orang

HINTHADA, Myanmar, 10 Ogos (AFP) – Angka kematian akibat banjir teruk di seluruh Myanmar telah mencecah 100 orang, media kerajaan melaporkan hari ini, dengan hampir sejuta orang terjejas ketika kebimbangan semakin bertambah bagi rantau penting jelapang padi di negara itu.

Banjir dari musim monsun teruk telah melanda Selatan dan Asia Tenggara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, yang telah meragut beratus-ratus jiwa dan mengakibatkan berjuta-juta orang berpindah tempat. Myanmar, salah sebuah negara paling miskin di Asia, paling teruk dilanda oleh hujan lebat selama berminggu-minggu dengan 12 dari 14 buah negeri dan rantau mengalami banjir.

Bantuan antarabangsa ditingkatkan dalam beberapa hari kebelakangan ekoran permintaan rasmi kerajaan bagi bantuan.

Akhbar Myanmar, Global New Light of Myanmar hari ini menyatakan perangkaan terkini kerajaan iaitu ‘lebih 100’ terbunuh dan ‘hampir sejuta orang terjejas di seluruh negara akibat banjir.

Lebih 1.2 juta ekar sawah padi pada masa ini ditenggelami air, dengan lebih 430,000 ekar musnah akibat banjir, tambah akhbar itu lagi.

Sekumpulan sukarelawan membawa bantuan bekalan keperluan kepada penduduk-penduduk yang terjejas oleh banjir di Vietnam. – AFP
Sekumpulan sukarelawan membawa bantuan bekalan keperluan kepada penduduk-penduduk yang terjejas oleh banjir di Vietnam. – AFP

Empat buah rantau telah dinamakan sebagai zon bencana, dengan negeri barat yang dilanda puting beliung Rakhine terutamanya paling teruk terjejas.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini kebimbangan meningkat dengan paras air yang semakin naik di lebih banyak kawasan di hilir Lembah Irrawady dan deltanya, dua kawasan pertanian penting berhampiran pusat komersial, Yangon.

Dengan memetik sumber biro cuaca, Global New Light of Myanmar melaporkan paras sungai telah agak menurun semalam, tetapi ‘masih berada di paras atas tahap berbahaya mereka’. Kerajaan junta Myanmar yang sebelum ini dituduh bersikap tidak ambil peduli dalam tindak balas lembapnya terhadap puting beliung Nargis pada bulan Mei 2008, satu krisis yang telah mengakibatkan kira-kira 138,000 orang terkorban atau hilang.