Korban bot karam kini 63 orang

Korban bot karam kini 63 orang

PELABUHAN KLANG, 8 Sept – Satu lagi mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam Khamis lepas, dijumpai hari ini, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 63 orang.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang, Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata mayat yang dipercayai lelaki dewasa itu dijumpai pukul 2.30 petang, kira-kira empat kilometer dari lokasi kejadian di Barat Daya Tanjung Sauh dekat sini.

Mohd Aliyas berkata kebanyakan mayat dijumpai di kawasan sekitar sembilan hingga 16.2 kilometer atau lima hingga sembilan batu nautika dari lokasi kejadian bot karam berkenaan.

Khamis lepas, bot sepanjang 40 kaki yang dinaiki warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia. Seramai 20 penumpang terselamat dalam kejadian itu. – Bernama