Korban gempa bumi meningkat

Korban gempa bumi meningkat

ISLAMABAD, 27 Okt (AFP) – Anggota menyelamat hari ini mencari mangsa yang masih hidup di rupa bumi berceranggah dan kawasan pemberontakan Taliban selepas gempa bumi besar melanda Pakistan dan Afghanistan, membunuh lebih 300 orang.

Jumlah tersebut dijangka meningkat tatkala anggota mencari sampai ke kawasan terpencil yang terputus oleh gempa bumi dengan ukuran 7.5 magnitud semalam, yang mencetuskan runtuhan tanah dan kejadian rempuhan serta merobohkan bangunan dan memutuskan talian perhubungan.

Seorang pegawai polis di barat laut bandar Pakistan Peshawar memberitahu AFP mereka gagal berhubung dengan pihak berkuasa di daerah Kohistan di Khyber Pakhtunkhwa untuk melihat keadaan penduduknya yang berjumlah hampir setengah juta.

“Tidak adanya cara untuk berkomunikasi dengan pegawai di Kohistan, sistem komunikasi telahpun terjejas dan jalan raya disekat, maka kami tidak boleh berkata apa-apa mengenai kerosakan di sana,” beritahu pegawai kepada AFP.

Di kawasan terpencil lain, penduduk, termasuk kanak-kanak dan orang tua, sedang membantu dalam kerja-kerja bantuan, kebanyakan mereka menggali menerusi runtuhan untuk mencari mangsa.

Tentera Pakistan ketika mengagihkan makanan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Lower Dir pada 27 Oktober, ketika para penyelamat masih lagi menjalankan misi mencari mangsa yang masih hidup. – AFP
Tentera Pakistan ketika mengagihkan makanan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di Lower Dir pada 27 Oktober, ketika para penyelamat masih lagi menjalankan misi mencari mangsa yang masih hidup. – AFP

Jumlah kematian dicatat di Pakistan, di mana 228 orang terbunuh, termasuk 184 di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, dan lebih daripada 1,600 cedera, kata pihak berkuasa pengurusan bencana.

Helikopter tentera Pakistan mulai memindah mangsa ke Peshawar dan Rawalpindi hari ini.

Tentera juga telah menghantar kumpulan perubatan, khemah dan catuan ke kawasan yang terjejas, sementara India, di mana hubungannya dengan Islamabad adalah tidak rapat, berkata ia bersedia untuk menghulurkan bantuan.

Untuk kebanyakan orang, gempa bumi semalam mengembalikan kenangan pahit gempa bumi dengan magnitud 7.6 yang melanda pada Oktober 2005, membunuh lebih daripada 75,000 orang.

Penduduk Muzaffarabad Shehnaz Rasheed, 34, di mana anak perempuannya terkorban dalam bencana 2005 berkata tatkala gempa melanda, beliau bimbang “hari bencana telah berulang lagi.”

“Saya berlari ke sekolah anak saya dan meninggalkan segalanya di belakang – saya tidak menutup pintu rumah saya dan tidak peduli apa-apa di jalan raya,” beritahunya kepada AFP, menjelaskan beliau terdesak untuk berjumpa dengan dua anak lelakinya supaya beliau “boleh mati bersama dengan mereka jika kami terpaksa mati.”