Korban gempa bumi Tanzania meningkat, PM Tanzania buat lawatan

Korban gempa bumi Tanzania meningkat, PM Tanzania buat lawatan

DAR ES SALAAM, 12 Sept – Perdana Menteri Tanzania, Kassim Majaliwa kelmarin melawat rantau Kagera bagi menghormati mangsa terkorban dan memeriksa kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi pada hari Sabtu lalu dengan bilangan kematian meningkat daripada 11 kepada 16.

Salum Kijuu, Pesuruhjaya serantau Kagera, berkata jumlah mangsa yang terbunuh dalam kejadian gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter meningkat daripada 11 pada hari Sabtu kepada 16 kelmarin, sambil menambah bahawa lebih 100 orang yang cedera sedang dirawat di hospital.

Kijuu berkata 840 buah rumah telah ranap dan 1,264 rumah mengalami keretakkan besar berikutan gempa bumi yang melanda rantau itu yang bersempadan dengan Uganda dan Rwanda.

“Lebih 40 bangunan milik kerajaan termasuk sekolah, turut rosak,” kata Kijuu.

Kijuu berkata tiada warga asing terbunuh atau cedera akibat gempa bumi itu.

Penduduk mengalihkan serpihan runtuhan sebuah rumah yang rosak berikutan gempa bumi yang melanda Lake Zone di Bukoba, barat laut Tanzania, Sabtu lalu. - AFP
Penduduk mengalihkan serpihan runtuhan sebuah rumah yang rosak berikutan gempa bumi yang melanda Lake Zone di Bukoba, barat laut Tanzania, Sabtu lalu. – AFP

“Kesemua mangsa adalah warga tempatan,” katanya kepada Xinhua melalui telefon.

Bercakap semasa di Stadium Nasional Kaitaba, Majaliwa berkata sepasukan pakar dari kerajaan akan menilai kerosakan yang disebabkan oleh gempa bumi tersebut.

“Penilaian ini akan membolehkan kerajaan mengetahui tahap bantuan yang boleh diberikan,” kata Majaliwa. “Kerajaan juga akan menampung perbelanjaan bagi pengebumian mangsa dan akan menyediakan perbelanjaan perubatan bagi mangsa yang cedera,” kata Majaliwa.

Beliau kemudian menambah bahawa kerajaan akan berusaha dengan perisikan teknikal pertubuhan meteorologi antarabangsa untuk mengetahui sama ada gempa bumi seperti itu akan melanda kawasan itu pada masa akan datang. – Xinhua