Korban jiwa meningkat

Korban jiwa meningkat

BANYUMAS, Indonesia, 20 Jun (AFP) – Jumlah kematian akibat runtuhan tanah dan banjir di Indonesia meningkat kepada 47 pada hari ini, kata seorang pegawai, selepas beratus-ratus buah rumah dilanda curahan lumpur dan batu.

Ratusan anggota menyelamat sedang mencari 15 penduduk kampung yang masih hilang di rumah yang musnah dan timbunan tanah selepas hujan selama beberapa hari mencetuskan runtuhan tanah dan banjir kilat di pulau Jawa pada hujung minggu.

Bencana semula jadi itu berlaku di seluruh wilayah Jawa Tengah, dengan limpahan lumpur, batu dan air menenggelamkan bangunan ketika ia menuruni lereng bukit dan pengguna jalan rata dihanyutkan oleh aliran lumpur berkenaan.

Penduduk kampung dipaksa mendapatkan perlindungan di atas bumbung rumah tatkala air banjir naik menenggelamkan rumah dan kenderaan mereka.

Anggota menyelamat menggunakan mesin pengorek untuk mencari mangsa yang selamat di kawasan yang boleh dimasuki, dan di tempat terpencil mereka menggali di tengah runtuhan dengan tangan dan penyodok.

Seorang wanita Indonesia bersama anaknya membasuh pakaiannya dengan persekitarannya dibanjiri lumpur akibat banjir kilat yang melanda kampung Kamulyan di Banyumas, tengah Jawa pada 20 Jun. – AFP
Seorang wanita Indonesia bersama anaknya membasuh pakaiannya dengan persekitarannya dibanjiri lumpur akibat banjir kilat yang melanda kampung Kamulyan di Banyumas, tengah Jawa pada 20 Jun. – AFP

Jurucakap agensi bencana Sutopo Purwo Nugroho berkata 47 orang disahkan mati dan 15 lagi hilang.

Manakala, beratus-ratus buah rumah rosak teruk, dengan beberapa daripadanya ranap.

“Penduduk perlu bersiap sedia kerana masih ada lagi potensi akan berlakunya banjir dan tanah runtuh,” ujarnya memberi amaran.

Beliau berkata sistem cuaca La Nina, yang biasanya menyebabkan hujan lebat, mungkin telah menyumbang kepada bencana pada hujung minggu.

Jawa, yang sepatutnya mengalami musim kering, telah dilanda hujan lebat dalam beberapa minggu ini.

“Pada Jun ini, masih berlakunya hujan lebat yang mengakibatkan banjir dan runtuhan tanah,” kata Nugroho, mengingatkan La Nina dijangka bertambah kuat pada bulan-bulan akan datang dan akan menambah risiko bencana.

Indonesia dan kawasan lain di Asia telahpun terjejas oleh El Nino, yang membawa kemarau dan suhu panas, La Nina sering menyusuli fenomena El Nino.

Beliau menyalahkan persediaan yang tidak mencukupi, berkata agensinya telah mengingatkan pihak berkuasa tempatan bahawa hujan lebat akan datang tetapi masih tidak jelas sama ada mereka telah mengambil tindakan.