Korban MERS meningkat

Korban MERS meningkat

SEOUL, 22 Jun (Reuters) – Kementerian Kesihatan Korea Selatan hari ini melaporkan dua lagi kematian dalam wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) di negara berkenaan, yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai “besar dan kompleks,” menjadikan jumlah kematian kini 27 orang.

Thailand, yang melaporkan kes pertamanya pada minggu lalu, berkata ia tidak mempunyai kes baru, sekali gus menambah harapan virus di sana telah pun terkawal. Negara jiran Malaysia mengumumkan bahawa ia sedang mempertingkat pemeriksaan kesihatan di semua pintu masuk ke negara.

Wabak di Korea Selatan telah dikesan kepada seorang lelaki berusia 68 tahun yang pulang dari satu kunjungan ke Timur Tengah pada awal Mei dan mendapatkan bantuan perubatan di hospital berlainan sebelum didiagnosis dengan virus MERS.

Kementerian kesihatan di Seoul juga mengesahkan tiga kes baru, membawa jumlah kepada 172 dalam satu wabak yang terbesar di luar Arab Saudi, tetapi telah menunjukkan tanda-tanda berkurangan disebabkan pelaksanaan langkah kawalan yang meluas.

MERS pertama dikenal pasti menjangkiti manusia di Arab Saudi pada tahun 2012 dan kebanyakan kes telah berlaku di Timur Tengah.

Seorang budak lelaki sedang diperiksa suhu badan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand kelmarin. – Reuters
Seorang budak lelaki sedang diperiksa suhu badan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand kelmarin. – Reuters

Kes terasing telah muncul di Asia sebelum wabak di Korea Selatan bermula pada bulan lalu, dan Thailand melaporkan kes pertamanya pada minggu lalu membabitkan seorang lelaki berusia 75 tahun dari Oman yang telah berkunjung ke Bangkok untuk mendapatkan rawatan untuk masalah jantung.

“Hari ini kami boleh memberi jaminan bahawa kami tidak menemui kes MERS baru,” kata Timbalan Menteri Kesihatan Thai Vachira Pengchan pada persidangan akhbar.

“Pada keseluruhannya, kami berjaya mengawal virus dan risiko adalah lebih rendah,” kata Vachira sambil menambah bahawa keadaan satu-satunya pesakit MERS semakin pulih.

Thailand ialah pusat yang popular untuk pelancongan perubatan, dengan kira-kira 1.4 juta pelawat berkunjung ke sana untuk mendapatkan penjagaan kesihatan setiap tahun, dan Vachira berkata kementerian kesihatan awam mungkin meminta hospital swasta yang merawat pesakit asing supaya menjalankan pemeriksaan ke atas mereka yang berkunjung dari kawasan berisiko tinggi, termasuk Korea Selatan dan Timur Tengah.

Malaysia, yang berkongsi sempadan tanah seluas 650km dengan Thailand, mula mengawasi suhu badan penumpang di lapangan terbangnya, kata Timbalan Menteri Kesihatan Hilmi Yahaya dalam satu kenyataan kepada agensi berita Bernama.

“Sekarang, kami akan memperluaskan lagi langkah kami untuk memasukkan semua pintu masuk ke negara,” kata beliau. Kementerian kesihatan Korea Selatan berkata pada minggu lalu wabak mungkin sudah berkurangan, walaupun ia berkata lebih banyak kes dijangka dilaporkan. Ia tidak melaporkan sebarang kes baru pada Sabtu, kali pertama dalam 16 hari.