Korban nahas meningkat

Korban nahas meningkat

MEDAN, Indonesia, 1 Julai (Reuters/AFP) – Presiden Indonesia berjanji untuk mengkaji semula armada pasukan udara negara itu yang sudah uzur dan melaksanakan kempen modenisasi pertahanan hari ini, ketika jumlah kematian akibat nahas pesawat pengangkut tentera di utara negara itu mencecah hingga 142 orang.

Pesawat udara Hercules C-130B, yang sudah berkhidmat selama setengah abad yang lalu, telah membawa seramai 122 orang di dalamnya apabila ia terhempas ke kawasan penduduk di bandar Medan sejurus selepas berlepas dari pangkalan udara.

Insiden itu sekaligus memberi tumpuan ke atas pembaharuan rekod keselamatan udara Indonesia yang amat menyedihkan.

Jurucakap tentera mengatakan 135 orang telah disahkan terkorban, termasuk kesemuanya yang berada di dalam pesawat itu. Rangkaian saluran berita TVOne mengatakan kira-kira 142 mayat telah dibawa ke hospital berhampiran, menunjukkan sekitar 20 orang telah terkorban di daratan.

“Seharusnya ada penilaian mengenai umur pesawat dan sistem pertahanan,” Widodo mentweet lewat kelmarin, ketika pengorek tanah menemui mayat daripada serpihan besi dan runtuhan bangunan.

Gambar gabungan bertarikh 1 Julai ini menunjukkan (atas-kiri) saudara kakitangan tentera yang bersedih semasa penghantaran jasad di pangkalan tentera di Medan pada 1 Julai. Sanak saudara mencari anggota keluarga yang hilang yang dikumpulkan di sebuah hospital (atas-kanan). Tentera Indonesia dan pasukan penyelamat (bawah-kiri) memindahkan serpihan dari bangkai pesawat C-130. Tentera memeriksa kenderaan yang musnah bersebelahan bangkai pesawat tentera itu. – AFP/Reuters
Gambar gabungan bertarikh 1 Julai ini menunjukkan (atas-kiri) saudara kakitangan tentera yang bersedih semasa penghantaran jasad di pangkalan tentera di Medan pada 1 Julai. Sanak saudara mencari anggota keluarga yang hilang yang dikumpulkan di sebuah hospital (atas-kanan). Tentera Indonesia dan pasukan penyelamat (bawah-kiri) memindahkan serpihan dari bangkai pesawat C-130. Tentera memeriksa kenderaan yang musnah bersebelahan bangkai pesawat tentera itu. – AFP/Reuters

Pesawat itu dalam perjalanannya dari pangkalan pasukan udara di Medan, salah sebuah bandar terbesar Indonesia, menuju ke Tanjung Pinang di Pulau Riau luar Sumatera. Media mengatakan juruterbang telah diminta untuk berpatah balik ke pangkalan kerana masalah teknikal.

Keluarga mangsa mengatakan hari ini, beberapa penumpang telah membayar untuk menaiki pesawat itu.

“Abang saya telah membeli tiket untuk menaiki pesawat Hercules,” kata saudara mangsa, yang meminta untuk dikenali dengan nama awalan B.A memberitahu Reuters.

“Dia membayar sekitar 800,000 rupiah ($60),” ujarnya, menambah bahawa abangnya merupakan orang awam.

Yang lain memberitahu media tempatan yang saudara mereka telah membayar kira-kira 1 juta rupiah untuk menaiki pesawat itu.

Ketua pasukan udara, Agus Supriatna menafikan para penumpang diarahkan untuk membayar bagi menaiki pesawat tentera itu.

“Apa yang kami bimbangkan adalah mungkin ada orang tertentu telah menawarkan untuk membawa para penumpang naik tanpa kebenaran, oleh itu kami akan menyiasatnya,” kata Supriatna.

Kemungkinan pencabulan peraturan sekali lagi meletakkan penelitian ke atas rekod keselamatan dalam sektor penerbangan Indonesia, yang menjadi antara yang berkembang pesat di rantau itu. Jet penumpang AirAsia terhempas dalam perjalanan dari bandar Surabaya Indonesia ke Singapura Disember lepas, membunuh kesemua 162 orang di dalamnya. Insiden itu mencetuskan kerajaan untuk memperkenalkan peraturan yang banyak bertujuan untuk meningkatkan keselamatan.

Widodo mengatakan dia telah mengarahkan siasatan mendalam ke atas punca insiden itu dan “penstrukturan fundamental’ mengenai pengurusan senjata dan pemerolehan.

“Kita bukan saja seharusnya membeli senjata, namun beranjak ke arah memodenkan sistem senjata kita,” ujarnya dalam kenyataan di televisyen hari ini.

“Industri pertahanan kita seharusnya terlibat, bermula dari penghasilan, operasi, pengekalan. Yang utama adalah….. pemerolehan senjata harus seharusnya bergerak ke arah industri pertahanan bebas.”