Korban serangan Lahore meningkat

Korban serangan Lahore meningkat

LAHORE, 28 Mac – Angka korban akibat pengebom bunuh diri di sebuah taman yang sesak dengan pengunjung sempena cuti Hari Easter semalam meningkat kepada 72 orang termasuk kanak-kanak.

Lebih 200 lagi cedera apabila terkena bahan letupan sarat bebola besi dekat taman permainan kanak-kanak di taman riadah dekat Lahore, mengakibatkan berpuluh mati atau cedera.

Pegawai Kanan Polis, Haider Ashraf mengesahkan jumlah korban setakat ini 72 orang, dengan sekurang-kurangnya lapan daripadanya kanak-kanak.

Pegawai Pentadbiran Atasan Lahore, Muhammad Usman pula memberitahu mangsa yang cedera dianggarkan seramai 233 orang.

Sekolah dan institusi kerajaan yang lain dibuka walaupun kerajaan mengumumkan tiga hari berkabung di wilayah Punjab, ibu negara Lahore, kata Pesuruhjaya Abdullah Sumbal.

Pecahan puak Taliban Pakistan mengaku melakukan serangan itu, menurut laman web Express Tribune.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Pakistan, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin mengesahkan bahawa semua warga Negara Brunei Darussalam yang berada di negara tersebut dalam keadaan selamat.

“Setakat yang diketahui oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Islamabad, Pakistan, Alhamdulillah tidak ada rakyat Negara Brunei Darussalam yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Semua pegawai dan keluarga Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Islamabad serta satu keluarga Brunei yang berada di Lahore telah dihubungi dan semuanya berada dalam keadaan selamat,” katanya sambil menambah pihaknya akan memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.

“Sekiranya terdapat rakyat Negara Brunei Darussalam yang kebetulan berada di Pakistan atau memerlukan bantuan mahupun sebarang maklumat bolehlah menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Islamabad melalui nombor +923215350888,” ujar beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA