Korban wabak ...

Korban wabak selesema burung meningkat

BEIJING, 16 Feb – China sedang mengalami wabak selesema burung paling teruk H7N9 sejak ia pertama muncul dalam manusia pada tahun 2013, membunuh 79 orang pada Januari sahaja dan mendorong beberapa bandar menggantung perniagaan haiwan ternakan hidup.

Suruhanjaya Kesihatan dan Perancang Keluarga Nasional berkata semalam pada akhir Januari seramai 100 orang telah meninggal dunia dalam musim selesema burung, yang biasanya berlaku pada musim sejuk dan berterusan sehingga musim bunga.

Terdapat 79 kematian di China pada bulan lalu berbanding dengan lima pada Januari 2016, menurut suruhanjaya.

Pertambahan dalam kematian telah menimbulkan kebimbangan bahawa satu wabak teruk akan melanda, walaupun pegawai kesihatan berkata wabak paling teruk mungkin telah berakhir.

H7N9, sejenis virus selesema yang menjejas ternakan ayam dan manusia, pertama ditemui di China pada 2013.

Seorang pesakit yang menghidap selesema burung dirawat di sebuah hospital di Wuhan, wilayah Hubei, China. – AFP
Seorang pesakit yang menghidap selesema burung dirawat di sebuah hospital di Wuhan, wilayah Hubei, China. – AFP

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti sakit teruk, dan hampir satu dalam tiga kes membawa maut. Kerajaan menggesa orang ramai supaya mengelak pasar ternakan hidup, di mana keadaan sanitasi yang teruk boleh menimbulkan risiko pencemaran.

Ni Daxin, pegawai kanan dengan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China dipetik hari ini oleh akhbar China Daily sebagai berkata penduduk China yang memilih ayam hidup atau yang baru disembelih menyumbang kepada penyebaran penyakit.

“Jika orang awam membeli haiwan ternakan beku, kawalan wabak adalah jauh lebih senang,” kata Ni. Perniagaan haiwan ternakan hidup telah pun dihentikan buat sementara waktu di bandar Guangzhou di selatan, Changsha di tengah China dan seluruh wilayah timur Zhejiang.

Zhejiang sahaja melaporkan 35 jangkitan pada Januari, agensi berita Xinhua memetik pegawai sebagai berkata. – AFP