Korea alu-alukan karyawan berbakat Brunei

Korea alu-alukan karyawan berbakat Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Republik Korea mengalu-alukan penggiat seni dan karyawan berbakat dari Negara Brunei Darussalam untuk bukan sahaja ikut serta tetapi mempamerkan karya seni dan budaya mereka di Rumah Kebudayaan Asia yang bakal dibuka di Busan, Korea tahun depan.

Pembukaan pusat itu nanti bertepatan dengan Tahun Pertukaran Kebudayaan ASEAN-Korea 2017, jelas Presiden Pusat Kebudayaan Asia (ACC), Republik Korea, Bang Sun-gyu dalam temu bual bersama Media Permata selepas Sidang Media AMCA ke-7 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog, yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Mengulas mengenai dengan penubuhan Rumah Kebudayaan Asia yang bakal dibukakan itu nanti, beliau berkata bahawa ia akan mengumpulkan dan menyediakan rumah bagi penggiat-penggiat seni Asia termasuk ASEAN untuk mempamerkan karya seni mereka dan menyatupadukan kebudayaan Asia supaya dapat diketengahkan kepada masyarakat barat.

Bang Sun-gyu mengalu-alukan penggiat seni dan karyawan Brunei untuk mempamerkan hasil karya mereka di Rumah Kebudayaan Asia yang akan dibuka pada pertengahan 2017 di Busan, Korea, nanti.
Bang Sun-gyu mengalu-alukan penggiat seni dan karyawan Brunei untuk mempamerkan hasil karya mereka di Rumah Kebudayaan Asia yang akan dibuka pada pertengahan 2017 di Busan, Korea, nanti.

Beliau menambah bahawa pihaknya mempunyai hubungan serta memorandum persefahaman dengan banyak institusi barat yang boleh digunakan untuk bekerjasama bagi mempamerkan lagi keunikan kebudayaan dan kesenian masyarakat Asia.

Menurutnya lagi, bagi mengukuhkan lagi hubungan di antara Korea dan negara-negara ASEAN, Korea telah membuka Pusat Kebudayaan Asia di Gwangju, Korea pada 2015.

Mengulas mengenai kerjasama dalam bidang kebudayaan di antara Brunei dan Korea, Bang Sun-gyu berkata bahawa pihaknya sedang mengumpulkan maklumat mengenai bidang-bidang kebudayaan dan kesenian serta kerjasama yang berpotensi untuk diterokai bersama.

ARTIKEL YANG SAMA