Korea S, AS bincang pertahanan peluru berpandu

Korea S, AS bincang pertahanan peluru berpandu

SEOUL, 12 Feb – Korea Selatan akan memulakan rundingan dengan Washington seawalnya pada minggu depan untuk menghantar sistem pertahanan peluru berpandu AS ekoran pelancaran roket Korea Utara, kata seorang pegawai kelmarin, tatkala Seoul memutuskan bekalan elektrik kepada sebuah taman kilang yang dikendali bersama dengan Utara.

Perbincangan itu akan menumpu pada penempatan unit Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) dengan tentera AS di Korea Selatan selepas pelancaran Utara pada hujung minggu lalu, beritahu seorang pegawai pertahanan Korea Selatan kepada Reuters dengan syarat namanya tidak disiarkan. Seoul dan Washington berkata ujian mencabul resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Korea Selatan pada Rabu lalu menggantung operasi di zon perindustrian Kaesong sebagai hukuman atas pelancaran roket dan ujian nuklear pada bulan lalu. Zon berkenaan, terletak di dalam Korea Utara, telah beroperasi lebih daripada satu dekad. Utara menggelar tindakan berkenaan ‘satu deklarasi perang’ semalam dan menyingkir pekerja Selatan. Kaesong adalah tempat terakhir untuk interaksi tetap di antara kedua-dua Korea.

Seramai 280 warga Korea Selatan yang masih berada di Kaesong bergegas untuk meninggalkan taman perindustrian pada petang Khamis, mengakhiri penarikan diri pada pukul 11:05 malam, kata Kementerian Penyatuan Selatan, yang mengendali hubungan dengan Utara.

Beberapa minit sebelum tengah malam, Selatan memutuskan bekalan elektrik ke Kaesong yang membekal tenaga ke zon kilang, kata kementerian pada awal kelmarin. Ia juga memutuskan bekalan air. Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan berusaha mendapatkan sekatan yang lebih keras ke atas Utara ekoran ujian nuklear dan pelancaran roket.

Gambar yang diambil pada 11 Februari 2016 menunjukkan objek yang dipercayai daripada serpihan sebuah roket Korea Utara yang dapat dilihat daripada kapal tentera laut Korea Selatan di Pyeongtaek, selatan Seoul. – AFP
Gambar yang diambil pada 11 Februari 2016 menunjukkan objek yang dipercayai daripada serpihan sebuah roket Korea Utara yang dapat dilihat daripada kapal tentera laut Korea Selatan di Pyeongtaek, selatan Seoul. – AFP

Korea Utara sering menganggap Selatan sebagai boneka Amerika Syarikat dan menuduh kedua-dua tindakan sebagai perbuatan perang. Pegawai tentera AS berkata sistem THAAD diperlukan di Korea Selatan, tetapi Seoul keberatan untuk membincang penghantarannya tatkala ia cuba mengimbangi gabungannya dengan Amerika Syarikat dan hubungan dengan China, rakan perniagaan terbesarnya.

Korea Selatan dan Amerika Syarikat berkata jika THAAD dihantar ke Korea Selatan, ia hanya akan menumpu pada Utara. China dan Rusia telah menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan penghantaran satu sistem yang mengendali radar yang boleh menembusi wilayah mereka. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA