Korea S-AS mula latihan tentera

Korea S-AS mula latihan tentera

SEOUL, 7 Mac (Reuters) – Tentera Korea Selatan dan AS memulakan latihan tentera besar-besaran hari ini dalam ujian pertahanan tahunan mereka ke atas Korea Utara, yang menggelar latihan ‘tindakan perang nuklear’ dan mengugut akan bertindak balas dengan serangan habis-habisan.

Korea Selatan berkata latihan itu akan menjadi yang terbesar ekoran ujian nuklear keempat Korea Utara pada Januari dan pelancaran roket jarak jauh pada bulan lalu yang mencetuskan resolusi Majlis Keselamatan PBB dan sekatan baru yang ketat.

Korea Utara telah menolak kritikan program nuklear dan roketnya, walaupun daripada sekutu lama China, dan pada minggu lalu pemimpin Kim Jong Un mengarahkan negaranya supaya bersedia untuk menggunakan senjata nuklear ketika menghadapi apa yang dilihatnya sebagai ancaman yang meningkat daripada musuh.

Pihak berkuasa latihan AS dan Korea Selatan berkata ia telah menghubungi Korea Utara tentang ‘ciri-ciri latihan ini’ yang membabitkan kira-kira 17,000 tentera Amerika dan lebih daripada 300,000 tentera Korea Selatan. Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata ia tidak melihat sebarang tanda-tanda aktiviti tentera yang luar biasa dari Utara.

Kapal marin Korea Selatan sedang menuju ke kapal pendaratan (tengah) di pelabuhan tenggara Pohang. - AFP
Kapal marin Korea Selatan sedang menuju ke kapal pendaratan (tengah) di pelabuhan tenggara Pohang. – AFP

Suruhanjaya Pertahanan Nasional Korea Utara berkata tentera dan rakyat Korea Utara akan “memenuhi hasrat terbesar negara Korea menerusi perang keadilan untuk penyatuan semula,” dalam respons kepada mana-mana serangan oleh tentera AS dan Korea Selatan.

“Tentera dan rakyat DPRK akan melancarkan serangan habis-habisan untuk memerangi tindakan perang nuklear AS dan pengikutnya,” kata suruhanjaya Korea Utara dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita Utara KCNA.

Utara, Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), seperti yang dikenalinya, secara rutin mengeluarkan ancaman tindakan tentera sebagai respons kepada latihan tahunan yang dilihatnya sebagai persediaan kepada peperangan. Ancaman pada hari ini adalah sejajar dengan retorik biasa yang digunakannya untuk mengecam latihan.

Sekatan PBB terbaru yang dikenakan ke atas Korea Utara dirangka oleh Amerika Syarikat dan China sebagai hukuman kepada ujian nuklear dan pelancaran satelitnya, yang dikatakan AS dan negara lain merupakan ujian teknologi peluru berpandu balistik.

ARTIKEL YANG SAMA