Korea S, Jepun setuju kerjasama sekatan ke atas Korea U

Korea S, Jepun setuju kerjasama sekatan ke atas Korea U

SEOUL, 2 Feb – Korea Selatan dan Jepun bersetuju semalam untuk mempertingkat kerjasama tatkala Majlis Keselamatan PBB bersedia untuk menghukum Korea Utara atas ujian nuklear keempatnya, agensi berita Korea Selatan melapor Kementerian Luar sebagai berkata.

Menteri Luar Yun Byungse dan rakan sejawatan Jepun Fumio Kishida bercakap menerusi telefon untuk membincang respon PBB terhadap ujian nuklear pada 6 Januari dan kemungkinan satu lagi pelancaran peluru berpandu jarak jauh oleh Utara, kata kementerian dalam satu kenyataan akhbar.

“Menteri Yun dan Menteri Kishida bersetuju untuk memperkukuh rundingan di antara Korea Selatan dan Jepun menerusi misi tetap mereka ke PBB dan saluran lain untuk pelaksanaan resolusi sekatan yang lebih efektif oleh Majlis Keselamatan PBB,” katanya.

Ketika perbualan mereka selama 40 minit, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengambil langkah laon untuk memberi tekanan kepada Utara, termasuk menerusi sekatan satu pihak.

Mengenai kemungkinan pelancaran peluru berpandu Utara, Korea Selatan, Jepun dan AS, serta negara relevan lain harus mengekal rundingan rapat ketika mereka merangka langkah pencegahan yang perlu, kata menteri.

Kishida meluahkan sokongan terhadap cadangan Korea Selatan untuk rundingan lima parti dalam rangka kerja rundingan enam parti bertujuan membebaskan Utara daripada senjata nuklear. Rundingan enam parti, membabitkan kedua-dua Korea, China, Jepun, Rusia dan AS, telah terbuntu sejak 2008. Rundingan lima parti tidak akan termasuk Utara.

Yun dan Kishida bersetuju akan mengadakan rundingan mengenai isu itu menerusi pelbagai saluran, kata kementerian. Ia adalah kali kedua kedua-dua menteri itu bercakap menerusi telefon sejak ujian nuklear Utara.

Yun juga menekankan kepentingan melaksana syarat-syarat perjanjian pada Disember yang bertujuan menyelesai isu wanita Korea yang dipaksa menjadi hamba seks untuk tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua, kata kementerian. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA