Korea S lapor tiga kes baru MERS

Korea S lapor tiga kes baru MERS

SEOUL, 21 Jun (AFP/Reuters) – Korea Selatan melaporkan tiga kes MERS baru, hari ini, tatkala pihak berkuasa kesihatan masih mengambil langkah berjaga-jaga mengenai penyebaran virus tersebut, yang nampaknya telah berkurangan dalam beberapa hari ini.

Dua pekerja perubatan adalah antara mereka yang baru didiagnosis dengan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), membawa jumlah mereka yang dijangkiti kepada 169 orang, kata kementerian kesihatan.

Jumlah kematian masih tidak berubah pada 25, katanya.

Dua kakitangan perubatan termasuk seorang doktor yang merawat seorang pesakit MERS di Pusat Perubatan Samsung di Seoul, dilihat sebagai pusat wabak, di mana lebih daripada 80 orang dijangkiti.

Seorang lagi merupakan pekerja perubatan yang mengambil sinar-X seorang pesakit MERS di sebuah hospital lain di Seoul.

Seorang budak lelaki ketika menjalani pemeriksaan suhu oleh seorang pegawai Thailand semasa dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok, Thailand pada 21 Jun. Korea Selatan melaporkan tiga kes baru MERS hari ini. – AFP
Seorang budak lelaki ketika menjalani pemeriksaan suhu oleh seorang pegawai Thailand semasa dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok, Thailand pada 21 Jun. Korea Selatan melaporkan tiga kes baru MERS hari ini. – AFP

Seramai 43 orang telah sembuh setakat ini dan dibenarkan keluar daripada hospital, termasuk tujuh di antara Jumaat dan Sabtu, kata kementerian.

Empat belas pesakit berada dalam keadaan kritikal, tambahnya.

Jumlah terbaru keluar sehari selepas Korea Selatan tidak melaporkan kes baru, menambah harapan Seoul sedang memenangi usaha untuk membendung virus itu. Jumlah pesakit baru telah merosot selama tiga hari berturut-turut dari lapan orang pada Selasa kepada kosong semalam.

Jumlah orang yang terdedah kepada pesakit dan di kuarantin di pusat kerajaan atau di rumah juga berkurangan kepada 4,035 semalam daripada kemuncak seramai 6,700 pada Rabu.

Wabak bermula pada 20 Mei apabila seorang lelaki berusia 68 tahun didiagnosis selepas pulang daripada satu kunjungan ke Arab Saudi.

Sejak itu, virus telah tersebar pada kadar yang amat pesat, sekaligus mencetuskan kebimbangan orang awam yang mendorong penutupan beribu-ribu sekolah dan pembatalan perjalanan oleh lebih 120,000 pelancong asing.

Hampir kesemua pesakit dijangkiti di hospital, dan Pertubuhan kesihatan Sedunia berkata ia tidak menemui bukti penyebaran virus dalam komuniti di luar hospital.

Ketua WHO Margaret Chan berkata pada Khamis lalu bahawa Seoul kini berada ‘dalam keadaan stabil’ selepas respons yang perlahan pada mulanya.

Sementara itu di Thailand, yang mendapati kes pertamanya minggu lepas, mengatakan 175 orang telah terdedah kepada pesakit tunggal dengan tidak ada jangkitan baru dilaporkan sejauh ini.

“Kami mengesahkan bahawa tidak ada pesakit MERS yang baru,” kata Menteri Kesihatan, Rajata Rajatanavin ketika dia mengetuai para wartawan meninjau lapangan terbang Suvarnabhumi Bangkok untuk menunjukkan langkah keselamatan dan kesihatan yang telah dikuatkuasakan, termasuk pengimbas haba panas bagi para penumpang.

Bangkok merupakan salah satu hab penerbangan utama di rantau itu dengan pelancongan menyumbang sebanyak 10 peratus kepada ekonomi Thailand.

ARTIKEL YANG SAMA