Korea S mula pengajian tulisan jawi

Korea S mula pengajian tulisan jawi

MELAKA, 13 Mac (Bernama) – Terletak jauh beribu batu dari nusantara iaitu kawasan asal kebudayaan Melayu bukan halangan buat Daegu University of Foreign Studies (DUFS) di Daegu, Korea Selatan memulakan pengajian dalam kebudayaan Melayu terutamanya tulisan jawi, pada bulan ini.

Dekan Fakulti Asia Tenggara DUFS Prof Dr Kang Kyoung Seok yang juga pakar dalam tulisan jawi berkata selain pembelajaran, universiti itu juga akan menjalankan kajian mengenai ilmu jawi atau Jawiology melalui Pusat Antarabangsa Jawiology di universiti tersebut.

Kang yang juga pengarah pusat itu dan berkhidmat bersama DUFS bermula 1 Mac lepas berkata selain tulisan jawi, DUFS juga akan menumpukan kepada pengajian dalam bahasa Melayu dan Indonesia.

“Daripada kuliah enam jam saya lebih menumpukan kepada penyelidikan dan kajian Jawiology. Selain itu ada juga (mengajar) bahasa Melayu dan Indonesia peringkat asas serta pertengahan.

“Kuliah Jawiology mendapat sambutan baik, ramai minat belajar. Tetapi penting bagi saya ialah membuat lebih banyak kajian mengenai ilmu jawi supaya kita semua dapat tahu lebih dalam mengenai jawi,” katanya yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama menerusi e-mel di sini.

Prof Dr Kang Kyoung Seok (kiri) yang juga pakar dalam tulisan Jawi sedang mengajar tulisan Jawi di universiti itu di Daegu, Korea Selatan. Universiti berkenaan telah memulakan pengajian Melayu terutama tulisan Jawi pada bulan ini. - Bernama
Prof Dr Kang Kyoung Seok (kiri) yang juga pakar dalam tulisan Jawi sedang mengajar tulisan Jawi di universiti itu di Daegu, Korea Selatan. Universiti berkenaan telah memulakan pengajian Melayu terutama tulisan Jawi pada bulan ini. – Bernama

Kang sebelum ini bersama Busan University of Foreign Studies sejak tahun 1982 dan bertanggungjawab menubuhkan Jabatan Indonesia-Malaysia di universiti itu.

Beliau berkata apa yang membuatkan beliau memilih untuk berkhidmat dengan DUFS ialah ruang untuk beliau melakukan kajian mengenai jawi serta mengajar tulisan itu sebagai satu nilai tambah bagi generasi muda di Korea Selatan.

“Di kampus Korea saya tidak diberi peluang hendak mengajar apa sahaja melainkan ikuti panduan universiti yang menolong pelajar senang mendapat kerja selepas mempelajari subjek yang telah saya ajar.

“Ini berbeza dengan DUFS yang mengutamakan pengajian ASEAN antaranya mengenai tulisan jawi, universiti ini walaupun kecil tetapi sebuah universiti yang kuat,” katanya.

Katanya DUFS juga sedang mengorak langkah untuk mengadakan program pengajian kerjasama dalam pengajian pelbagai bidang terutamanya Jawiology dengan universiti di Malaysia.

“Saya akan membawa impak inovatif yang mana DUFS akan menerima pelajar dari luar negara untuk mengikuti kursus Jawiology serta calon sarjana atau doktor falsafah (PhD) terutama dari Malaysia dan Brunei dalam Jawiology,” katanya.