Korea S rancang bina kilang biobutanol

Korea S rancang bina kilang biobutanol

KUCHING, 7 Okt – Syarikat penapisan petroleum kedua terbesar Korea Selatan, GS Caltex Co, memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Biomass Renewal Resources (BRR) Sarawak untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pembinaan kilang biobutanol di negeri itu.

BRR merupakan unit di bawah organisasi bukan kerajaan yang tidak bertujuan keuntungan, Yayasan Pillar.

Kajian yang akan dijalankan di Miri, Bintulu, Tanjung Manis dan Kuching itu bertujuan membuka peluang kepada Sarawak untuk menjadi pengeluar biobutanol dengan memanfaatkan kepakaran serta teknologi GS Caltex.

Agensi Inovasi Malaysia (AIM) akan membantu dalam merealisasikan kilang biobutanol tersebut, yang boleh dianggap satu pencapaian bagi Pelan Pembangunan Industri Biomass Sarawak (SBIDP).

Biobutanol atau bahan api butanol berasaskan bio adalah bahan api alkohol generasi kedua dengan ketumpatan tenaga lebih tinggi dan kemeruapan rendah berbanding etanol.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (berdiri, dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri (berdiri, kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Datuk Seri Paduka Aishah Mahmud (duduk, tengah), Dr Seung Di Young (duduk, kiri) dan Mark Rozario (duduk, kanan), kelmarin. – Bernama
Datuk Amar Douglas Uggah Embas (berdiri, dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri (berdiri, kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Datuk Seri Paduka Aishah Mahmud (duduk, tengah), Dr Seung Di Young (duduk, kiri) dan Mark Rozario (duduk, kanan), kelmarin. – Bernama

Naib Presiden GS Caltex, Dr Do-Young Seung dan Ketua Pegawai Eksekutif BRR Datuk Seri Aisah Mahmud masing-masing menandatangani MoU itu di sini hari ini, disaksikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mark Rozario berkata industri biobutanol boleh menjadi pencetus perubahan kepada Sarawak dengan menukar landskap perindustrian negeri itu dan membuka pelbagai peluang sepanjang rantaian nilai.

“Kita perlu bertindak proaktif dalam aspek ini, selain perlu memutuskan dan membuat pilihan daripada pelbagai peluang yang sangat luas ini.

“Kita perlu memilih yang khusus dan membina keupayaan serta kompetensi untuk menjadi yang terbaik dalam bidang strategik kita,” katanya dalam ucapan.

SBIDP yang dilancarkan pada Februari 2016, bertujuan membangunkan negeri itu menjadi hab pemprosesan biomass di Asia Tenggara. – Bernama