Korea S sahkan dua jangkitan virus MERS

Korea S sahkan dua jangkitan virus MERS

SEOUL, 28 Mei (AFP) – Korea Selatan berkata hari ini ia telah mengesahkan dua lagi jangkitan virus MERS, membawa jumlah kes kepada tujuh, tatkala seorang mangsa tidak menghiraukan amaran dan berlepas ke China dalam perjalanan perniagaan.

Jangkitan itu yang kesemuanya berpunca daripada kes asal seorang lelaki berusia 68 tahun pada 20 Mei lalu selepas pulang dari Arab Saudi, telah mencetuskan kebimbangan awam mengenai penularan itu.

Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) dianggap lebih teruk tetapi kurang berjangkit berbanding virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang muncul di Asia pada 2003 dan membunuh beratus orang, kebanyakannya di China.

Gejala itu mungkin bermula daripada sakit selesema dan pneumonia serta kerosakan buah pinggang.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea berkata lebih daripada 70 orang yang mungkin telah terdedah secara langsung atau tidak langsung daripada pesakit asal sedang ditempatkan dalam kuarantin.

Bagaimanapun, seorang di antara mereka, lelaki berusia 44 tahun, berlepas ke China atas urusan perniagaan pada Selasa, sehari selepas bapanya didiagnosis dijangkiti virus berkenaan.

“Kami menasihatkannya supaya jangan melakukan perjalanan tetapi beliau enggan mendengar,” beritahu pengarah CDC Yang Byung-Guk kepada wartawan.

Yang berkata pihak berkuasa kesihatan China telahpun dihubungi dan lelaki tersebut telah dimasukkan ke sebuah hospital China untuk menjalani ujian sebaik sahaja tiba.

ARTIKEL YANG SAMA