Korea S tunjuk kuasa kepada Korea Utara

Korea S tunjuk kuasa kepada Korea Utara

SEOUL, Korea Selatan, 6 Sept – Korea Selatan memperlihatkan persenjataan berteknologi tingginya hari ini ketika ketegangan meningkat di rantau itu ekoran ujian tiga peluru berpandu Pyongyang minggu ini.

Korea Utara melepaskan peluru berpandu jarak pertengahan semalam, yang mengundang kecaman dari AS dan Jepun sementara meraih pujian dari pemimpin Kim Jong-Un yang mengalu-alukan prestasi mereka sebagai ‘sempurna’.

Pyongyang telah melancarkan ujian keempat nuklear dan siri-siri ujian peluru berpandu tahun ini dalam mengingkari sekatan PBB, yang mengakibatkan Seoul mengumumkan rancangan untuk menempatkan sistem antipeluru berpandu AS untuk mencegah ancaman seumpama itu.

Pameran DX Korea yang diadakan setiap dua tahun dianjurkan oleh kerajaan Korea Selatan di Seoul melibatkan kira-kira 250 buah syarikat, kebanyakannya syarikat tempatan.

Pengeluar senjata Korea mempamerkan meriam katak K9, helikopter Surion, kereta kebal gempur utama K2 dan peralatan ketenteraan lain ketika previu media.

Kereta kebal Korea Selatan, K2, melancarkan tembakan semasa demonstrasi penembakan bagi pratonton jelang Expo Pertahanan Korea 2016 di kawasan latihan penembakan Seungjin di Pocheon, 65 kilometer timur laut Seoul, kelmarin. - AFP
Kereta kebal Korea Selatan, K2, melancarkan tembakan semasa demonstrasi penembakan bagi pratonton jelang Expo Pertahanan Korea 2016 di kawasan latihan penembakan Seungjin di Pocheon, 65 kilometer timur laut Seoul, kelmarin. – AFP

Mereka yang terlibat dalam pameran juga mengadakan persembahan menggunakan peluru hidup di padang tembak di bandar Pocheon berhampiran sempadan dengan Korea Utara untuk memperlihatkan artileri mereka, kenderaan gempur infantri penjenteraan dan peluru berpandu.

Para pembeli berpotensi dari 25 buah negara telah dijemput ke pameran itu yang akan berjalan bermula esok hingga Sabtu, menurut para penganjur.

Selain dari syarikat-syarikat Korea Selatan, 80 firma asing dari AS, Jerman dan Israel juga menyertai pameran itu.

Eksport senjata Korea Selatan jatuh dari AS$3.6 bilion pada tahun 2014 kepada AS$3.4 bilion tahun lalu. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA