Korea Selatan, AS mulakan latihan antikapal selam

Korea Selatan, AS mulakan latihan antikapal selam

SEOUL, 1 Jun (AFP) – Korea Selatan dan AS memulakan latihan besar-besaran antikapal selam hari ini, beberapa minggu selepas Korea Utara mendakwa ia telah berjaya menguji peluru berpandu balistik yang dilancarkan kapal selam.

Latihan tiga hari itu, yang bertujuan menangani provokasi oleh kapal selam Korea Utara, diadakan di perairan kepulauan selatan, Jeju, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan.

“Ini adalah latihan terbesar bersama kapal selam yang pernah diadakan oleh negara-negara bersekutu ini, dari segi skala dan bilangan kapal yang terlibat,” jurucakap kementerian memberitahu AFP.

Latihan melibatkan lebih 10 buah kapal, termasuklah kapal pemusnah Aegis Korea Selatan, dan juga kapal selam, kapal terbang pengawas dan helikopter, menurutnya lagi.

Secara berasingan unit artileri, kapal perang dan jet pejuang Korea Selatan telah melaksanakan latihan bersama menggunakan peluru hidup di perairan pantai timur wilayah Goseong, di selatan sempadan dengan Korea Utara, menurut kementerian itu lagi.

Latihan itu diadakan di tengah kebimbangan meningkat berhubung perluasan program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Korea Utara.

Selain ujian SLBM, Pyongyang baru-baru ini berbangga dengan kemampuannya untuk membuat kuasa letupan bersaiz kecil untuk dipasang pada roket jarak jauh.

ARTIKEL YANG SAMA