Korea Selatan catat kematian pertama MERS

Korea Selatan catat kematian pertama MERS

SEOUL, 2 Jun (AFP) – Korea Selatan hari ini melaporkan kematian pertamanya akibat virus MERS, ekoran wabak terbesar di luar Timur Tengah yang telah menjangkiti 25 orang dan mencetuskan kebimbangan awam yang meluas.

Seorang wanita berusia 58 tahun mati akibat kegagalan pernafasan akut semalam dan ujian yang diterima selepas itu menunjukkan positif dijangkiti MERS (Sindrom Pernafasan Timur Tengah), kata kementerian kesihatan.

Mangsa lain adalah seorang lelaki berusia 71 tahun yang disahkan dijangkiti virus berkenaan beberapa hari lalu dan meninggal dunia hari ini.

Sebelum ini, satu-satunya kes MERS lain yang membawa maut di Asia adalah seorang lelaki yang meninggal dunia di Malaysia pada April 2014.

Enam lagi warga Korea Selatan didiagnosis dengan virus MERS pada malam semalam, kata kementerian, membawa jumlah orang yang dijangkiti kepada 25 orang termasuk dua mangsa yang meninggal dunia.

Penumpang memakai topeng muka untuk mengelak dijangkiti Sindrom MERS ketika mereka berjalan melepasi kamera pengimejan termal di Lapangan Antarabangsa Incheon, Korea Selatan 2 Jun. Korea Selatan hari ini melaporkan dua kematian pertamanya akibat wabak MERS yang menjangkiti 25 orang dalam dua minggu ketika kebimbangan awam semakin meningkat dan pegawai bergelut untuk mengekangnya. – Reuters

Kes pertama – seorang lelaki berusia 68 tahun didiagnosis selepas pulang daripada satu lawatan ke Arab Saudi – dilaporkan pada 20 Mei.

Kira-kira 750 orang yang terdedah secara langsung atau tidak langsung kepada virus berkenaan telah pun ditempatkan di bawah kuarantin mandatori atau sukarela.

Menteri Kesihatan Moon Hyung-Pyo merayu kepada sesiapa yang ditempatkan di bawah kuarantin suka rela untuk tempoh inkubasi dua minggu supaya mematuhi garis panduan pengasingan.

“Mereka yang dikuarantin mesti mengalami kesusahan dalam kehidupan harian mereka, tetapi tolong bekerjasama demi keselamatan diri anda, keluarga anda dan jiran anda,” kata Moon. Beliau juga menggesa rakyat supaya memakai topeng muka di tempat awam dan mencuci tangan mereka dengan kerap untuk menangkis jangkitan berkenaan.