Korea Selatan, Iran meterai perjanjian maritim

Korea Selatan, Iran meterai perjanjian maritim

SEOUL, 3 Mac (Bernama) – Korea Selatan dan Iran memeterai satu perjanjian maritim berhubung isu perkapalan dan perikanan sekali gus membuka jalan kepada syarikat tempatan meneroka pasaran di negara Timur Tengah yang kaya dengan minyak itu.

Perjanjian itu membolehkan kapal kedua-dua negara bebas memasuki perairan masing-masing serta menerima bantuan setara jika berlaku kecemasan, lapor agensi berita Korea Selatan, Yonhap, yang memetik Kementerian Lautan dan Perikanan negara berkenaan sebagai berkata pada Selasa.

Seoul dan Tehran pernah memeterai perjanjian serupa pada 1998 namun ia tidak pernah dilaksana.

Eksport produk perikanan Korea Selatan ke Iran dianggar bernilai AS$21 juta pada tahun lepas, bersamaan hanya satu peratus daripada jumlah keseluruhan eksport perikanan ekonomi keempat terbesar Asia itu.

Apabila komuniti antarabangsa menarik balik sekatan ekonomi terhadap Iran baru-baru ini, pemerhati industri menjangkakan negara Timur Tengah itu akan menggerakkan projek-projek maritim bagi membangunkan sumber aslinya.

Pendaftar Perkapalan Korea, sebuah badan yang diklasifikasi bukan berasaskan keuntungan, dan kaunterpartnya dari Iran turut bersetuju mewujudkan satu perkongsian bagi mempromosi projek kejuruteraan serta loji.

Kementerian berkenaan berkata perkongsian itu akan membolehkan firma Korea Selatan menembusi pasaran Iran dengan lebih mudah.

ARTIKEL YANG SAMA