Korea Selatan lepas tembakan amaran kepada tentera Korea Utara

Korea Selatan lepas tembakan amaran kepada tentera Korea Utara

SEOUL, 12 Julai (AFP) – Tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran pada tentera Korea Utara yang menceroboh zon penampan yang menandakan sempadan mereka yang dikawal amat ketat, kata Seoul hari ini, dalam pertempuran kecil pertama sedemikian pada tahun ini.

Kejadian itu berlaku pada pagi semalam apabila 10 tentera Korea Utara menyeberangi sempadan zon bebas tentera yang memisahkan kedua-dua Korea, yang masih berperang dari segi teknikal, kata kementerian pertahanan Selatan.

Namun pencerobohan singkat berhampiran Cheorwon, timur laut Seoul, tidak mencetuskan kejadian tembak-menembak kerana tentera Korea Utara berundur tanpa membalas tembakan, katanya.

Zon bebas tentera, atau DMZ, meskipun namanya, adalah salah satu sempadan yang dikawal paling ketat di dunia, dipenuhi dengan menara pengawasan dan periuk api.

Terdapat beberapa siri pertempuran kecil, membabitkan kejadian tembak-menembak, di sepanjang sempadan darat dan laut antara Korea dalam beberapa tahun ini.

Namun ia adalah kali pertama pada 2015 di mana tentera Korea Selatan melepaskan tembakan amaran pada tentera Korea Utara kerana menceroboh DMZ, beritahu pegawai kementerian kepada AFP.

Ketegangan antara sempadan telah meletus dengan kerap pada tahun ini, dengan Korea Utara melancarkan beberapa ujian peluru berpandu balistik kerana marah dengan latihan tentera AS-Korea Selatan.

ARTIKEL YANG SAMA