Korea Selatan mahu menang ke atas Syria

Korea Selatan mahu menang ke atas Syria

SEREMBAN, 5 Sept – Korea Selatan mahu memastikan mereka pulang dengan tiga mata apabila menentang Syria di pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, malam esok.

Jurulatihnya yang berasal dari Jerman, Uli Stielike berkata pemainnya sedar tugas penting mendapatkan tiga mata itu jika ingin menempah tempat ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

“Kami datang untuk mengutip tiga mata kerana tahu ia penting untuk misi ke Rusia. Kami juga percaya mempunyai peluang yang baik untuk menewaskan Syria. “Cuaca di sini juga baik, tidak terlalu panas dan ia juga bukan alasan bagi kami,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Perlawanan bagi Kumpulan A itu yang turut merangkumi Iran, Uzbekistan, China dan Qatar itu, pada mulanya dijadual berlangsung di Stadium Olimpik Macau tetapi terpaksa dipindahkan ke Paroi selepas Persatuan Bola Sepak Syria gagal mencapai persetujuan dengan Persatuan Bola Sepak Macau.

Syria yang menjadi tuan rumah terpaksa bermain di gelanggang berkecuali berikutan kebimbangan mengenai tahap keselamatan akibat konflik dalaman negara itu.

Korea Selatan menang 3-2 dalam perlawanan pertama mereka ke atas China manakala Syria pula tewas 0-1 kepada Uzbekistan.

Sementara itu, jurulatih Syria, Ayman Hakeem berkata pasukannya akan berusaha keras memenangi perlawanan malam esok walaupun menyedari Korea Selatan adalah pasukan yang kuat dalam Kumpulan A. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA