Korea Selatan minat bida projek HSR

Korea Selatan minat bida projek HSR

SINGAPURA, 18 Okt – Korea Selatan melahirkan minat untuk membida projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang dicadangkan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Beliau berkata minat Korea Selatan itu disampaikan kepadanya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan republik tersebut, Yeo Hyung Koo, semasa mesyuarat dua hala yang berlangsung di luar Mesyuarat Peringkat Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-9 di Cebu, Filipina, baru-baru ini.

“Saya juga memberitahunya mengenai beberapa projek berkaitan kereta api lain seperti penyambungan laluan Transit Aliran Ringan dan Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Lembah Klang (KVMRT) yang masing-masing telah bermula dan dijangka siap pada 2016 dan 2017,” katanya kepada Bernama dalam temu bual melalui telefon.

Seperti pendekatan rasmi, beliau meminta rakan sejawatnya dari Korea Selatan itu menghantar surat rasmi kepada kerajaan berhubung minat mereka untuk menyertai projek HSR.

“Menurut timbalan menterinya, Yeo, Korea Selatan juga berminat bekerjasama dan berkongsi kepakaran HSR dengan kerajaan Malaysia serta berhasrat bekerjasama dalam pemindahan teknologi untuk projek pengangkutan itu,” kata Abdul Aziz.

Beliau berkata Korea Selatan bersedia berkongsi kepintaran mereka mengenai usaha sistem pengangkutan bagi mengurangkan kesesakan di Malaysia. Abdul Aziz berkata Yeo juga menjemput Malaysia untuk menyertai Kongres Pengangkutan Dunia yang akan berlangsung di Korea Selatan pada Mei 2016. Semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura 2013 di Singapura, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawat Singapura, Lee Hsien Loong, bersetuju untuk membina laluan HSR antara Kuala Lumpur dan republik itu. – Bernama