Korea Selatan saman Nissan

Korea Selatan saman Nissan

SEOUL, 16 Mei (AP) – Kementerian Alam Sekitar Korea Selatan berkata hari ini ia akan menyaman operasi Nissan di Korea Selatan kerana memanipulasi ujian emisi (asap) pada model kenderaan sport utiliti (SUV), satu dakwaan yang disangkal oleh Nissan.

Kementerian berkata ia akan mendenda Nissan Korea Co dengan jumlah 330 juta won dan menarik balik 814 kenderaan Qashqai yang dijual sejak November. Ia juga merancang memfailkan satu aduan dengan pendakwa ke atas ketua operasi Nissan di Korea Selatan.

Hong Dong-kon, pengarah di kementerian, berkata alat pengurangan emisi SUV berhenti berfungsi apabila suhu enjin mencecah 35 Celsius, kira-kira 30 minit selepas enjin mulai berfungsi.

“Biasanya, sesetengah kereta menutup alat pengurangan emisi apabila suhu mencecah 50 darjah Celsius, untuk menghalang enjin daripada menjadi terlalu panas. Qashqai merupakan satu-satunya kenderaan yang menutupnya pada 35 darjah,” kata Hong pada satu persidangan akhbar. Apabila alat pengurangan pengeluaran berhenti berfungsi, tahap emisi kenderaan Nissan adalah lebih kurang sama atau lebih tinggi daripada kereta diesel Volkswagen, yang didenda kerana menipu dalam ujian emisi.

Seorang pegawai dari Kementerian Pengangkutan Korea Selatan memegang plakad menunjukkan kenderaan Nissan menjalani ujian emisi ketika sidang media di Seoul, kelmarin. – AFP
Seorang pegawai dari Kementerian Pengangkutan Korea Selatan memegang plakad menunjukkan kenderaan Nissan menjalani ujian emisi ketika sidang media di Seoul, kelmarin. – AFP

“Semua pakar kereta berpendapat ia jelasnya satu manipulasi dalam alat pengurangan emisi,” kata beliau.

Nissan Motor Co di Jepun menafikan melakukan sebarang kesalahan. Ia berkata hasil dapatan pihak berkuasa Korea Selatan adalah berlainan daripada keputusan Kesatuan Eropah, yang menyimpulkan bahawa kenderaan Nissan tidak menggunakan alat yang menyalahi undang-undang. Syarikat Jepun itu berkata ia akan menilai keadaan dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Korea Selatan.

“Nissan tidak pernah menggunakan alat yang diharamkan dalam mana-mana kereta yang kami hasilkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Korea Selatan menyiasat 20 model kereta diesel yang dijual di Korea Selatan ekoran skandal berhubung pengakuan Volkswagen bahawa ia telah melengkapi kereta dengan perisian yang boleh mengehadkan emisi apabila kereta diuji oleh pengawal.

ARTIKEL YANG SAMA