Korea Selatan semakin cemas

Korea Selatan semakin cemas

SEOUL, 4 Jun (AFP) – Kebimbangan mengenai satu wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) di Korea Selatan tersebar hari ini dengan Korea Utara meminta pemeriksaan sempadan diadakan sementara beratus sekolah ditutup di Selatan dan pihak berkuasa melaporkan lima kes baru.

Presiden Korea Selatan Park Geun-hye telah menuntut segala usaha dilakukan untuk menghentikan wabak yang bermula dua minggu lalu, dibawa masuk ke negara oleh seorang lelaki Korea Selatan yang pulang dari satu kunjungan perniagaan ke Timur Tengah.

Dua orang telah mati di Korea Selatan. Dengan 35 kes, Korea Selatan mempunyai jangkitan paling banyak di luar Timur Tengah di mana penyakit tersebut pertama muncul pada 2012, dan di mana kebanyakan daripada 440 kematian telah dicatat.

Kira-kira 1,600 orang telah dikuarantin di Korea Selatan, kebanyakan mereka di dalam negara tetapi ada di antaranya dalam institusi perubatan, kata seorang pegawai kementerian kesihatan.

Tentera telah pun ditempatkan di pangkalan di kawasan berhampiran hospital di mana wabak telah berlaku, sementara ibu bapa dari kawasan berkenaan tidak boleh melawat anak mereka yang bekerja sebagai tentera, kata pegawai kementerian pertahanan.

Di antara lima kes Korea Selatan baru adalah dua pekerja kesihatan yang merawat pesakit yang dijangkiti.

“Kami berada dalam peperangan,” kata seorang pegawai di pusat kesihatan di daerah Gangnam, Seoul, di mana perasaan panik telah tersebar awal hari ini apabila pekerja perubatan dalam sut perlindungan ditemui berhampiran sebuah hotel.

ARTIKEL YANG SAMA