Korea Selatan tewaskan Republik Czech 2-1

Korea Selatan tewaskan Republik Czech 2-1

PRAGUE, 6 Jun – Republik Czech yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, tewas 2-1 di tangan Korea Selatan pada aksi pemanas badan terakhir mereka menjelang kejohanan Euro 2016.

Republik Czech bakal mengharapkan kombinasi pemain muda dan berpengalaman untuk mereka mara daripada Kumpulan D yang menampilkan juara bertahan, Sepanyol, Croatia dan juga Turki.

Sebelum ini, Sepanyol membelasah Korea Selatan 6-1 pada aksi persahabatan, Rabu lalu.

Tuan rumah terlebih dulu ketinggalan pada minit ke-25 selepas penjaga gol, Petr Cech gagal menepis sepakan percuma Yoon Bit Garam yang menerjah masuk penjuru kanan gol.

Pemain tengah Arsenal, Tomas Rosicky menjadi punca gol kedua selepas kehilangan bola yang membolehkan Korea Selatan melancarkan serangan balas dan disudahkan Suk Hyun Jun untuk pelawat selesa dengan kedudukan 2-0 sebelum rehat.

Tuan rumah bermula garang di babak kedua selepas merapatkan jurang menerusi cubaan Marek Suchy yang terbias pertahanan Korea Selatan, Kwak Tae Hwi sebelum menerjah gawang pelawat.

Namun, hasrat Republik Czech untuk bangkit akhirnya terjejas pada minit ke-60 selepas Theodor Gebre Selassie dilayangkan kad kuning kedua akibat mengasari pemain Korea Selatan ketika perebutan bola di udara.

“Saya lebih kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan di separuh masa pertama berbanding kad merah itu sendiri.

“Mujurlah pemain gantian berjaya memberi impak dan corak permainan kita menjadi bertambah laju,” kata pengendali Republik Czech, Pavel Vrba.

Mereka bakal bertemu Sepanyol untuk aksi pertama Euro 2016 pada 13 Jun. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA