Korea Selatan-Utara sekata selar Abe

Korea Selatan-Utara sekata selar Abe

SEOUL, 30 April – Dalam menunjukkan perpaduan politik yang luar biasa, Korea Selatan dan Korea Utara hari ini menyelar Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe kerana gagal memohon maaf di atas penggunaan hamba seks ketika peperangan, ketika beliau melawat Amerika Syarikat.

Menteri Luar kedua-dua negara, masing-masing mengeluarkan kenyataan yang mengkritik Abe kerana memutarbelitkan sejarah, dengan Pyongyang membandingkan pemimpin Jepun itu dengan penghidap psikosis yang jahat.

Dalam ucapan bersejarah kepada sesi bersama Kongres Amerika Syarikat, Abe melahirkan rasa “kesal mendalam” di atas tindakan Jepun terhadap negara-negara jirannya di Asia ketika Perang Dunia II.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat permohonan maaf penuh yang dituntut oleh negara-negara seperti China dan Korea Selatan, terutamanya berhubung pengambilan paksa bagi yang digelar “wanita penghibur” untuk melayan tentera-tentera Jepun di rumah pelacuran tentera.

“Adalah sangat dikesali ucapan Perdana Menteri Jepun Abe di Kongres AS tidak ada permohonan maaf ikhlas,” Kementerian Luar Korea Selatan berkata dalam satu kenyataan.

Sekumpulan aktivis Korea Selatan memegang pelekat memaparkan gambar Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada perhimpunan mengutuk ucapan Abe di Kongres Amerika Syarikat, berhampiran Kedutaan Jepun di Seoul pada 30 April 2015. – AFP
Sekumpulan aktivis Korea Selatan memegang pelekat memaparkan gambar Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada perhimpunan mengutuk ucapan Abe di Kongres Amerika Syarikat, berhampiran Kedutaan Jepun di Seoul pada 30 April 2015. – AFP

Kenyataan itu mengatakan Abe telah melepaskan peluang keemasan untuk Jepun merangsang semangat baru “perdamaian sebenar” dengan jiran-jirannya.

Sejarawan menganggarkan kira-kira 200,000 orang wanita Asia terutamanya dari semenanjung Korea telah dipaksa bekerja di dalam rumah pelacuran tentera Jepun. Hubungan antara Seoul dan Tokyo sentiasa bermasalah memandangkan legasi pahit pemerintahan Jepun 1910-45 ke atas semenanjung Korea. – AFP