Korea U: AS cuba kepung cara Leningrad

Korea U: AS cuba kepung cara Leningrad

SEOUL, 4 April (AFP) – Badan tertinggi tentera Korea Utara menuduh ‘pasukan-pasukan seteru’ yang diketuai AS mengepung negaranya seperti Leningrad dalam Perang Dunia Kedua dan Cuba ketika krisis peluru berpandu Perang Dingin.

Dalam kenyataan yang disiarkan hari ini oleh agensi berita rasmi KCNA, Korea Utara, seorang jurucakap Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan (NDC) juga berkata sekatan terbaru PBB yang dikenakan ke atas Pyongyang ekoran program senjata nuklearnya adalah ‘ketinggalan zaman dan akan membawa kemusnahan’ dan boleh mencetuskan serangan nuklear ke atas tanah besar AS.

Majlis Keselamatan PBB telah membentuk sekatan ekonominya yang paling keras setakat ini ke atas Korea Utara selepas Pyongyang menjalankan ujian nuklear keempat pada Januari lalu dan melancarkan roket angkasa lepas sebulan kemudian yang secara meluas dianggap ujian peluru berpandu balistik yang disembunyikan.

Jurucakap NDC berkata sekatan itu adalah perbuatan ‘AS dan pasukan seteru lain’ yang berhasrat menyerang Korea Utara ‘beramai-ramai untuk menelannya’.

“Sekatan Leningrad yang mengundang kegerunan di hati orang ramai dan krisis Caribbean dalam era Perang Dingin tidak setanding dengan situasi ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Bukan menghancurkan Korea Utara, layanan seumpama itu hanya akan mengukuhkan azamnya, menurutnya, dengan menambah kata Washington mengatur krisis yang boleh mengundang Korea Utara ‘membuat serangan balas nuklear ke atas tanah besar AS pada bila-bila masa.”

Korea Utara juga membuat ancaman serangan nuklear ke atas AS dan Korea Selatan selama berminggu-minggu, selepas kedua-dua negara itu melancarkan latihan tentera bersama besar-besaran yang dianggap Pyongyang sebagai latihan bagi serangan yang provokasi.

ARTIKEL YANG SAMA