Korea U: Berjaya uji bom-H

Korea U: Berjaya uji bom-H

SEOUL, 6 Jan (Reuters) – Korea Utara berkata ia berjaya menguji satu alat nuklear hidrogen (bom-H) hari ini, mendakwa kemajuan besar dalam keupayaan serangan negara dan mencetuskan kebimbangan di Jepun dan Korea Selatan.

Ujian itu, kali keempat Korea Utara telah meletup alat nuklear, diarah oleh pemimpin muda Kim Jong Un, kata media negeri.

“Biarkan dunia nampak negara bersenjata nuklear yang kuat dan berdikari sendiri,” tulis Kim dalam apa yang TV kerajaan Korea Utara paparkan sebagai nota tulisan tangan.

Laporan ujian nuklear itu mencetuskan kutukan di luar negara, termasuk dari China dan Rusia, dua sekutu utama Korea Utara.

China menyatakan ‘tentangan mutlak dan mengatakan ia akan mengemukakan bantahan dengan Pyongyang.

Pengarah Pusat Seismologi Taiwan, Kuo Kai-wen menjelaskan lokasi dari sebuah monitor menunjukkan tapak ujian bom hidrogen pertama Korea Utara, di Taipei pada 6 Januari. – AFP
Pengarah Pusat Seismologi Taiwan, Kuo Kai-wen menjelaskan lokasi dari sebuah monitor menunjukkan tapak ujian bom hidrogen pertama Korea Utara, di Taipei pada 6 Januari. – AFP

“Ujian bom hidrogen pertama berjaya dijalankan pada pukul 10:00 hari ini,” kata agensi berita Korea Utara KCNA.

Pada bulan lalu, Kim nampaknya mendakwa negaranya telah menghasilkan bom hidrogen, juga dikenali sebagai alat termonuklear, satu peningkatan daripada bom nuklear yang kurang kuat, tetapi Amerika Syarikat dan pakar luar berasa sangsi pada masa itu.

Pegawai risikan Korea Selatan dan beberapa penganalisis menyoal sama ada letupan hari ini adalah ujian alat hidrogen sepenuhnya.

Alat tersebut mempunyai hasil kira-kira 6 kilotan, menurut pejabat penggubal undang-undang Korea selatan dalam jawatankuasa risikan parlimen – kira-kira saiz yang sama dengan ujian terakhir Utara, yang bersamaan dengan 6-7 kilotan TNT.

“Berdasarkan skala tersebut, adalah sukar untuk mempercayai ia adalah bom hidrogen sebenar,” kata Yang Uk, rakan penyelidik kanan di Forum Pertahanan dan Keselamatan Korea.

“Mereka mungkin telah menguji beberapa alat peringkat sederhana di antara bom-A dan bom-H, tetapi melainkan mereka tampil dengan mana-mana bukti yang jelas, adalah sukar untuk mempercayai dakwaan mereka.”

Joe Cirincione, pakar nuklear yang menjadi presiden Dana Ploughshares, pertubuhan keselamatan global, berkata Korea Utara mungkin telah mencampurkan isotop hidrogen dalam bom pembelahan nuklear biasa.

“Disebabkan ia adalah hidrogen, mereka mungkin mendakwa ia adalah bom hidrogen,” kata beliau. “Namun adalah tidak benar bom pembelahan berupaya memberikan hasil pelbagai megaton yang dihasilkan oleh bom berkenaan.”

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) melaporkan gempa bumi berukuran 5.1 magnitud yang Korea Selatan katakan adalah 49km dari tapak Punggye-ri, tempat Korea Utara menjalankan ujian nuklear pada masa lalu.

Ujian terakhir Korea Utara ke atas alat atom, pada 2013, juga mencatatkan ukurannya 5.1 pada skala USGS.

ARTIKEL YANG SAMA