Korea U berjaya uji enjin roket balistik

Korea U berjaya uji enjin roket balistik

SEOUL, 24 Mac (Reuters) – Korea Utara berjaya menguji satu enjin yang merangsang kuasa roket balistiknya, lapor media negeri hari ini, tatkala presiden Korea Selatan mengarahkan tentera supaya bersiap sedia bertindak balas terhadap “provokasi melulu” oleh Utara.

Dakwaan Pyongyang menandakan ia sedang meneruskan penghasilan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada kadar pesat sebagai mengingkari sekatan PBB, dan di tengah penilaian oleh pegawai Selatan bahawa ia mungkin menjalankan ujian nuklear baru pada bila-bila masa.

Negara tersisih itu telah mempertingkat retorik suka perang mereka dalam beberapa minggu ini, mengugut akan melancarkan serangan nuklear ke atas Washington dan Seoul, serta membuat dakwaan tentang pemajuan teknologi senjatanya.

Rodong Sinmum, akhbar parti pemerintah Utara, menyiarkan gambar pemimpin Kim Jong Un di tapak ketika enjin roket yang dipasang mendatar di atas tanah mengeluarkan pancaran berapi. Laporan dua muka surat membutirkan ujian struktur enjin.

Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Pusat Berita Korea Utara (KCNA) kelmarin menunjukkan Kim Jong Un (dua kanan) melawat kilang Februari 11 di Kompleks Mesin Ryongsong, Pyongyang. – Reuters
Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Pusat Berita Korea Utara (KCNA) kelmarin menunjukkan Kim Jong Un (dua kanan) melawat kilang Februari 11 di Kompleks Mesin Ryongsong, Pyongyang. – Reuters

“Beliau berasa gembira ujian berjaya itu dapat membantu merangsang kuasa roket balistik yang berupaya menyerang unsur bermusuhan,” kata agensi berita KCNA. Utara berkata pada minggu lalu ia telah menjalankan ujian kemasukan semula peluru berpandu balistik, dan tidak lama lagi akan menguji peluru berpandu balistik yang mampu membawa kepala peluru nuklear.

Semalam, Utara mengulang ancaman untuk menyerang pejabat presiden Selatan, berkata sistem pelancaran roketnya sedang bersedia untuk menyerang Rumah Biru dan unit operasi khasnya bersedia untuk bertindak.

Presiden Korea Selatan Park Geun-hye mengarahkan semua orang mengambil langkah berjaga-jaga dan meminta tenteranya sedia menunggu untuk “bertindak secara aktif terhadap provokasi melulu oleh Utara,” menurut pejabat beliau.

ARTIKEL YANG SAMA