Korea U disyaki godam sistem jalan bawah tanah

Korea U disyaki godam sistem jalan bawah tanah

SEOUL, 5 Okt (AFP) – Korea Utara disyaki telah melancarkan serangan siber tahun lalu ke atas sistem jalan bawah bandar Korea Selatan yang membawa berjuta-juta orang ulang-alik setiap hari, menurut seorang ahli undangan Seoul, dengan merujuk laporan perisikan.

Serangan itu, yang dilancarkan antara Mac dan Ogos 2014, menjejaskan beberapa server Seoul Metro, yang bergerak di laluan utama jalan bawah, menurut ahli undangan parti memerintah, Ha Tae-Kyung.

Hampir 60 komputer kakitangan dijangkiti perisian berbahaya, kata Ha.

Selepas menganalisis rekod penggodaman, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan (NIS) mendapati kod-kod perisian berbahaya serupa dengan perisian berbahaya yang pernah digunakan oleh penggodam-penggodam Korea Utara, tambahnya.

Jurucakap Seoul Metro mengesahkan penggodaman itu tetapi menekankan bahawa komputer-komputer digunakan bagi operasi langsung jalan bawah tidak terjejas.

“Terdapat data dan kebocoran maklumat, tetapi tidak satu pun berkaitan operasi langsung,” kata jurucakap itu lagi.

“Kami masih tidak tahu siapa dalang di sebalik serangan,” tambahnya.

Rangkaian jalan bawah Seoul adalah salah satu yang paling sibuk di dunia, yang membawa kira-kira 5.25 juta penumpang setiap hari.

Korea Selatan menyalahkan para penggodam Korea Utara bagi siri-siri serangan siber ke atas institusi tentera, bank, agensi kerajaan, penyiar TV dan laman sesawang media dalam beberapa tahun kebelakangan.

ARTIKEL YANG SAMA