Korea U mungkin lancar peluru berpandu lagi

Korea U mungkin lancar peluru berpandu lagi

SEOUL, 21 Jun (AFP) – Korea Utara dilihat sedang bersiap sedia untuk menguji satu lagi peluru berpandu jarak sederhana yang baru, berikutan beberapa kegagalan bagi program senjata balistik yang berhasrat untuk mengancam tanah besar Amerika Syarikat (AS), menurut beberapa laporan hari ini.

Media Jepun dan Korea Selatan yang memetik sumber rasmi sebagai berkata Korea Utara bersedia untuk menempatkan apa yang digelarnya peluru berpandu Musudan berhampiran pesisir timurnya.

Korea Utara gagal dalam empat percubaannya pada tahun ini untuk menerbangkan Musudan, yang dianggarkan mempunyai jarak antara 2,500 dan 4,000 kilometer (1,550 sehingga 2,500 batu).

Jarak lebih rendah itu meliputi keseluruhan Korea Selatan dan Jepun, sementara jarak tertinggi akan melibatkan pangkalan-pangkalan tentera AS di Guam.

“Kami telah mengesan tanda-tanda bahawa Utara telah menempatkan apa yang dilihat sebagai peluru berpandu Musudan,” agensi berita Yonhap, Korea Selatan yang memetik pegawai kerajaan yang tidak dikenal pasti sebagai berkata.

Agensi Kyodo News, Jepun, dan badan penyiaran umum NHK keduanya memetik sumber yang tidak dikenali sebagai berkata persediaan bagi pelancaran misil itu mungkin sedang dilakukan.

Kementerian pertahanan di Seoul enggan mengesahkan laporan itu, tetapi berkata ia ‘memantau keadaan itu’.

Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengharamkan Korea Utara dari sebarang penggunaan teknologi misil balistik, walaupun kerap melepaskan tembakan misil jarak pendek ke laut ke timur pesisirnya.

Kyodo berkata tentera Jepun mengarahkan untuk memintas sebarang misil atau bahagian yang jatuh yang mungkin mengancam wilayah Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA