Korea U mungkin miliki 21 bom nuklear

Korea U mungkin miliki 21 bom nuklear

SEOUL, 15 Jun (AFP) – Korea Utara mungkin telah menghasilkan tambahan enam atau lebih senjata nuklear dalam tempoh 18 bulan lalu, mungkin menjadikan jumlah simpanannya kepada lebih 21 bom, menurut kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) semalam.

Institusi Sains dan Keselamatan Antarabangsa (ISIS) mendasarkan anggaran itu pada jumlah senjata gred plutonium dan uranium yang diperkaya yang dipercayai telah dihasilkan oleh Korea Utara di kompleks nuklearnya di Yongbyon.

Laporan itu muncul selepas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Yukiya Amano minggu lalu berkata bahawa Korea Utara mungkin telah meng-aktifkan semula loji di Yongbyon bagi memproses semula plutonium bagi kegunaan dalam senjata nuklear.

Pada lewat 2014, ISIS menganggarkan simpanan nuklear Korea Utara pada 10 hingga 16 senjata.

Sejak itu, Korea Utara telah menambah lagi empat hingga enam senjata kepada simpanannya bagi jumlah 13 hingga 21 atau lebih hari ini, menurut ISIS.

Anggaran 13-21 tidak mengambil kira sumbangan tambahan kemungkinan loji pengempar kedua yang mungkin telah dibina oleh Korea Utara untuk menghasilkan senjata gred uranium, menurutnya lagi.

“Bagaimanapun, amalan ini, meskipun tidak menyeluruh, menunjukkan bahawa Korea Utara nyata sekali boleh menambah kemampuan senjata nuklearnya,” menurut kumpulan pemikir di Washington.

Kebanyakan pertambahan ini sejak 2014 adalah disebabkan penghasilan senjata gred uranium, tambahnya lagi.

Amano, dengan merujuk kepada imejan satelit, minggu lalu berkata di Vienna: “Indikasi yang kami peroleh adalah ke-giatan berkaitan reaktor lima megawatt, perluasan kemudahan pengayaan dan kegiatan berkaitan pemprosesan semula plutonium.”

ARTIKEL YANG SAMA