Korea U nafi serangan siber ke atas Korea S

Korea U nafi serangan siber ke atas Korea S

SEOUL, 13 Mac (Reuters) – Korea Utara hari ini menafikan bahawa ia telah melancarkan serangan siber ke atas para pegawai dari negara saingannya, Korea Selatan, dengan menyifatkan tuduhan Korea Selatan itu bahawa ia telah melakukannya adalah ‘palsu’.

Agensi pengintip Korea Selatan memberitahu ahli undangan pada Jumaat lalu bahawa Korea Utara baru-baru ini telah meningkatkan usaha serangan siber ke atas Korea Selatan dan berjaya menggodam telefon bimbit milik 40 orang pegawai keselamatan, menurut anggota parlimen yang menerima penerangan secara terutup.

“Korea Selatan mendakwa serangan siber Korea Utara dan menggunakannya bagi tujuan politiknya sendiri,” menurut pandangan dalam Rodong Sinmum, surat khabar harian rasmi parti memerintah Korea Utara, melaporkan hari ini. ia menuduh Korea Selatan membuat tuduhan serangan siber untuk mewajarkan undang-undang ‘anti keganasan’ baru yang berkontroversi.

“Tidak ada yang dijangkakan melainkan bunyi makan mayat manusia dari mulut burung gagak. Bagaimanapun, kita tidak boleh terlepas pandang tuduhan mendadak, provokasi dan kejam Korea Selatan terhadap jirannya,” menurut artikel itu.

Awal minggu ini, Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan juga berkata Korea Utara telah cuba menggodam akaun e-mel para pekerja landasan kereta api Korea Selatan dalam cubaan untuk menyerang sistem kawalan sistem pengangkutan, meskipun ia mengatakan ia telah mengganggu cubaan penggodaman ke atas para pekerja landasan kereta api dan menutup akaun e-mel mereka.

Korea Selatan meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman serangan siber oleh Korea Utara selepas ia melancarkan ujian nuklear pada bulan Januari dan melancarkan roket jarak jauh bulan lalu, yang mencetuskan sekatan baru PBB.

Ketegangan juga meningkat di semenanjung Korea ketika Korea Selatan dan AS melancarkan latihan bersama ketenteraan tahunan yang menurut Korea Selatan adalah yang terbesar dan hari ini termasuklah ketibaan pengangkut pesawat udara nuklear USS John C Stennis di Korea Selatan.

Korea Utara menyelar latihan itu sebagai ‘langkah perang nuklear; dan mengancam akan memberi respons dengan serangan besar-besaran. Korea Utara menafikan tuduhan Korea Selatan yang sebelumnya bahawa ia telah melancarkan serangan siber ke atas pengendali nuklear Korea Selatan.