Korea U salahkan AS, dialog nuklear tertangguh

Korea U salahkan AS, dialog nuklear tertangguh

SEOUL, 30 Julai (AFP) – Korea Utara berkata hari ini dialog terbuntu mengenai program nuklearnya adalah disebabkan latihan tentera Amerika Syarikat (AS) yang agresif dan menuduh Washington berusaha menyalahkan Pyongyang.

“Ia adalah kemuncak kepura-puraan yang diheboh-hebohkan oleh AS mengenai “semangat dialog” dan “kefleksibelan” sementara mengambil tindakan tentera tanpa henti-henti,” kata jurucakap kementerian luar negeri.

“Ia merupakan muslihat untuk mengalih kesalahan untuk dialog yang terbuntu,” jurucakap dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Utara KCNA.

Melainkan Washington menamatkan latihan tentera bersama tahunan dengan Korea Selatan, rundingan enam parti mengenai program senjata nuklear Korea Utara tidak dapat diteruskan, tambah beliau.

Enam parti yang terbabit – Korea Utara, Korea Selatan, China, Jepun, Rusia dan Amerika Syarikat – belum bertemu lebih dari enam tahun lamanya, dan setiap usaha untuk memulihkan proses dialog telah terbuntu.

Ekoran perjanjian nuklear AS dengan Iran baru-baru ini, para pegawai AS telah mencadangkan kompromi juga boleh dicapai bersama Pyongyang sekiranya ia mengikuti jejak Tehran dalam rundingan tersebut.

Namun dalam beberapa siri persidangan akhbar di Beijing, New York dan Geneva, duta Korea Utara telah menekankan bahawa Pyongyang tidak berhasrat untuk berunding mengenai senjata nuklearnya.

ARTIKEL YANG SAMA