Korea U siap sedia uji peluru berpandu

Korea U siap sedia uji peluru berpandu

SEOUL, Korea Selatan, 26 April – Korea Utara dipercayai telah menempatkan peluru berpandu jarak sederhana baru yang bersiap sedia untuk dilancarkan, kata satu laporan berita hari ini.

Pelan pelancaran itu keluar dua hari selepas Korea Utara berkata ia berjaya menguji peluru berpandu balistik dari sebuah kapal selam dalam beberapa siri ujian senjata di tengah latihan tentera Korea Selatan-AS.

Pegawai Seoul berkata mereka tidak dapat mengesahkan sama ada ujian penembakan pada Sabtu merupakan satu kejayaan.

Agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik seorang pegawai Seoul sebagai berkata hari ini bahawa tentera negara mempunyai bukti yang menunjukkan Korea Utara mungkin melancarkan peluru berpandu jarak sederhana Musudan tidak lama lagi.

Kementerian Pertahanan Seoul berkata ia tidak mempunyai risikan sedemikian. Pegawai Korea Selatan selalunya enggan membincang mengenai sistem senjata Korea Utara di khalayak ramai disebabkan mereka membabitkan risikan tentera sulit.

Yonhap berkata peluru berpandu yang sedia dilancarkan itu adalah satu daripada dua peluru berpandu Musudan yang dihantar oleh Korea Utara sebelumnya di timur laut sebelum ia menembak satu pada awal bulan ini.

Pegawai Korea Selatan dan AS berkata terdapatnya pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada 15 April, hari jadi mendiang pengasas Utara, Kim Il Sung, tetapi mereka tidak mengesahkan secara rasmi bahawa ia adalah peluru berpandu Musudan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA