Korea U tuduh tentera AS provokasi tentera sempadan

Korea U tuduh tentera AS provokasi tentera sempadan

SEOUL, 29 April – Korea Utara hari ini menuduh tentera-tentera Amerika Syarikat (AS) cuba membangkitkan kemarahan pasukan tentera di barisan hadapan dengan tindakan yang menimbulkan rasa meluat dan menggalakkan tentera-tentera Korea Selatan membidik senapang mereka ke arah Korea Utara.

Satu kenyataan ketenteraan Korea Utara memberi amaran supaya tentera AS menghentikan apa yang digelarnya ‘tindakan buas’ di kampung sempadan antara Korea, Panmunjom atau mereka akan menemui ‘kematian dalam hina pada bila-bila masa dan mana-mana tempat.”

“Tentera boneka Korea Selatan didorong melakukan provokasi berbahaya seumpama itu ketika membidik pihak ketenteraan Korea Utara minggu lalu, menurut kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Rasmi Berita Pusat Korea, Pyongyang.

Korea Utara kadangkala menuduh tentera Korea Selatan dan AS cuba mengundang kemarahan pasukan tentera sempadannya dan begitu juga sebaliknya. Selepas ujian bom nuklear pertama Korea Utara pada tahun 2006, AS menuduh tentera Korea Utara meludah di garisan pembatasan sempadan, dengan memperlihatkan isyarat mengelar leher dengan tangan dan memperlihatkan jari tengah mereka.

Tuduhan terbaru Korea Utara dibuat sehari selepas para pegawai Korea Selatan dan AS berkata dua pelancaran yang dikatakan peluru berpandu jarak sederhana oleh Korea Utara telah berakhir dengan kegagalan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan Korea Utara melepaskan peluru berpandu dan bedilan meriam bertubi-tubi ke arah laut dalam respons kepada latihan tahunan tentera AS-Korea Selatan yang berakhir pada hari Sabtu. – AP